Strategi Pembudayaan Dan Pemerkasaan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di Malaysia
Kerajaan menekankan agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) yang merupakan agenda utama negara dalam memastikan masyarakat mendapat peluang pendidikan merentasi peringkat umur, latar belakang pendidikan dan lokasi pembelajaran dan perkara ini disokong oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) dan Pelan Induk Pembudayaan PSH 2011-2020. Ini adalah tonggak dalam merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara kompetitif dan ada kelebihan bersaing, malah di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Korea Selatan telah menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai satu elemen pendidikan untuk melahirkan modal insan yang relevan dengan kehendak industri.
Bagi mencapai status negara maju, pembelajaran sepanjang hayat menjadi satu kemestian di dalam usaha kerajaan menterjemah pelbagai inisiatif serta memastikan transformasi negara mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi mencapai kenyataan. Pembelajaran sepanjang hayat mestilah dijadikan sebagai sebahagian daripada budaya dan gaya hidup bagi membolehkan masyarakat menyesuiakan diri dengan arus globalisasi dan kemajuan teknologi masa kini. UMP Advanced telah pun mengambil usaha untuk pembudayaan dan pemerkasaan PSH melalui penawaran program yang dijalankan secara hujung minggu, waktu pengajian yang fleksibel dan kecanggihan teknologi masa kini yang membolehkan penawaran program pembelajaran sepanjang hayat dilaksanakan secara dalam talian (online).
Penggunaan Teknologi Bagi Penyampaian PSH
Oleh yang sedemikian adalah menjadi satu keperluan kepada negara untuk merencana strategi pembudayaan PSH yang berkesan agar akses kepada program dapat diperluaskan melalui pelbagai medium. Sebagai permulaan, antara strategi yang penting untuk dilaksanakan adalah pelaksanaan pembelajaran dalam talian bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pembelajaran ini dapat meluaskan akses PSH melalui penggunaan sistem berasaskan web dan pekakasan mobil yang mana boleh diakses oleh pelajar pada bila-bila masa dan secara atas talian.
UMP Advanced telah mula mengorak langkah menggunakan kaedah pelaksanaan program dengan menggunakan teknologi bagi menyokong modul yang dijalankan secara dalam bilik kuliah atau konvensional ke dalam bentuk pembelajaran teradun dengan menyepadukan aktiviti dalam talian untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar. Pelaksanaan pembelajaran dalam talian ini memasukkan elemen sidang video, sidang audio, nota multimedia, Web 2.0 (interaksi dan pengukuhan maya, Facebook & Social Media) dan lain-lain bagi menyediakan pembelajaran yang fleksibel kepada warga industri yang mengikuti program pembelajaran sepanjang hayat selari dengan perkembangan ledakan Revolusi Perindustrian keempat (IR 4.0).
Kerjasama Antara Agensi Yang Melaksanakan PSH
Strategi berikutnya adalah melaksanakan kerjasama antara agensi bagi memaksimumkan penggunaan sumber yang berharga dan memastikan program pembelajaran sepanjang hayat dapat dilaksanakan dengan cekap. Pada masa ini terdapat beberapa agensi kerajaan di bawah beberapa kementerian yang melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat di mana setiap agensi ini mewakili sasaran kumpulan yang berbeza dan menyediakan program pembelajaran sepanjang hayat yang berbeza selaras dengan misi dan objektif agensi masing-masing. Sebagai contoh, Kementerian Belia & Sukan (KBS) menyediakan kursus jangka masa pendek dan panjang bagi belia dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) melaksanakan program program keusahawanan pembelajaran sepanjang hayat yang mengfokus kepada komuniti bumiputra setempat. Dicadangkan supaya perkongsian dan gunasama kepakaran pengajar, infrastuktur dan kemudahan antara agensi PSH bagi mendekatkan komuniti setempat mengembangkan ilmu dan kemahiran mereka. Setiap agensi perlu bersinergi melaksanakan program pembelajaran sepanjang hayat untuk memastikan impak program tercapai.
Kolaborasi Antara Agensi PSH dan Industri
Hubungan strategik di antara agensi pembelajaran sepanjang hayat dan industri berkaitan dapat memberi faedah bersama menerusi perkongsian program, kepakaran, kemudahan infrastuktur, pemindahan kemahiran dan teknologi. Faedah yang didapati oleh industri adalah peluang peningkatan kemahiran pekerja di samping menjadikan kolaborasi ini sebagai salah satu sumbangan atau tanggungjawab social kepada komuniti. Agensi PSH akan dapat menyalurkan program pembelajaran sepanjang hayat yang mempunyai permintaan industri dan berimpak tinggi untuk dilaksanakan kepada golongan sasaran disamping mendapat faedah pemindahan kepakaran dan kemahiran kepada pengajar yang terlibat.
Sokongan Kewangan untuk Program PSH
Dalam usaha membantu masyarakat menyertai program pembelajaran sepanjang hayat, pihak kerajaan perlu menyediakan dana untuk terlibat di dalam aktiviti dan program pembelajaran sepanjang hayat. Pendanaan ini juga haruslah disokong dengan mekanisma pembiayaan bagi golongan pekerja yang terlibat dengan program. Agensi Yayasan Negeri, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, badan antarabangsa dan parti politik dicadangkan untuk mewujudkan dana dan pinjaman kepada golongan sasaran yang berkaitan. Selain itu, untuk membantu menggalakkan majikan membenarkan penglibatan pekerja di dalam program pembelajaran sepanjang hayat, dicadangkan insentif pengecualian cukai dan kemudahan perbelanjaan modal bagi pembinaan infrastruktur dan kemudahan diperuntukan kepada majikan yang menyokong agenda program pembelajaran sepanjang hayat.
Kesinambungan Dan Pengiktirafan Pembelajaran Sepanjang Hayat
Kerajaan perlu memberi penekanan kepada kesinambungan dan pengiktirafan pembelajaran sepanjang hayat dengan memperkukuhkan kerangka sedia ada (pengajaran & pembelajaran, tadbir urus, syarat kemasukan dan penilaian program) dengan mewujudkan Pusat Nasional Jaminan Kualiti dan Pengiktirafan program pembelajaran sepanjang hayat. Pusat ini akan menyelaras aktiviti jaminan kualiti dan pengiktirafan program yang melibatkan institusi pengajian awam dan swasta dan memastikan masyarakat dan industri yakin dengan penawaran program PSH. Seterusnya inisiatif ini perlu disokong dengan meningkatkan kemasukan pelajar melalui Kemasukan Terbuka dan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dimana ianya merupakan proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu yang akan membantu warga kerja yang mempunyai pengalaman pekerjaan namun kurang kelayakan akademik untuk menyambung program pembelajaran sepanjang hayat.
PSH Tingkat Daya Saing Industri
Peluang pembelajaran sepanjang hayat yang ditawarkan melalui UMP Advanced dapat memperluas akses bagi peningkatan pengetahuan dan kemahiran serta membuka peluang bagi meneruskan pembelajaran yang lebih tinggi. Ini hanya dapat dilaksanakan dengan mengambil kira strategi pembudayaan dan pemerkasaan program pembelajaran sepanjang hayat dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan industri. UMP Advanced sentiasa peka terhadap definisi dan konsep PSH yang selari dengan aspirasi semasa negara untuk membangunkan masyarakat berilmu yang memacu negara bagi mencapai matlamatnya menjadi negara maju.
Oleh Amirul Ahmad, Pengurus Kanan Jabatan Akademik dan Rundingcara Pelajar, UMP Advanced. Emel: aamirul@ump.edu.my. Rencana ini telah disiarkan dalam Berita Harian, 30 Mac 2019.
- 3972 views