130 Pasukan Berentap Rebut Juara Robotik NRC
Pekan, 20 Julai – Sebanyak 130 pasukan membabitkan 52 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri ini mengambil bahagian dalam pertandingan National Robotic Competition (NRC) Peringkat Negeri Pahang 2018 di Dewan Serbaguna, Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Pekan. Program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Sasbadi Holding Berhad dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) dan Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM).
Pertandingan robotik selama dua hari ini dibahagikan kepada 11 kategori bagi sekolah rendah dan menengah yang bertemakan ‘Food Matters’.
Majlis dirasmikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Haji Miftah Haji Surif. Dalam ucapannya beliau merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat khususnya UMP yang terpilih buat julung kalinya sebagai tuan rumah dalam menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang lengkap sejak NRC diperkenalkan.
“Pertandingan ini dilihat dapat memupuk dan menarik minat generasi muda dalam bidang robotik sekaligus mengembangkan potensi murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Dengan penglibatan, UMP dan syarikat korporat diharapkan kolabarasi bersama KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri dapat melahirkan modal insan yang berkualiti pada masa hadapan," katanya.
Beliau berharap program ini mampu memberi peluang dan ruang kepada generasi muda bagi mengetengahkan kreativiti dalam bidang robotik di samping melahirkan modal insan yang berkebolehan dan berketrampilan.
Dalam majlis ini, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMP, Prof. Dato’ Dr Mashitah Mohd Yusoff hadir menyampaikan plak, pingat dan sijil kepada pemenang. Turut hadir sama Pengarah Sasbadi Learning Solution Sdn. Bhd, Kevin Wan, Penolong Pengarah Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Arman Mohammad Tojid dan Pensyarah Kanan FKEE, Prof. Madya Dr Hamzah Ahmad.
Manakala bagi Johan Kategori Football NRC (Menengah), Hoo Weng Lok dari SMK Air Putih amat gembira dengan pencapaian ini dan akan berusaha lebih gigih untuk ke tahap seterusnya. Pasukannya akan menambahbaik robot serta membuat kajian yang lebih terperinci untuk persediaan ke peringkat kebangsaan.
Lain-lain sekolah yang layak mewakili negeri Pahang antaranya membabitkan SMK Pelindung, SMK Bukit Goh, SMK Cenderawasih, SMK Paya Besar, SMK Tok Sira, SJK (C) Kong Min, SJK (C) Lurah Bilut dan SJK(C) Pei Chai.
NRC 2018 peringkat kebangsaan dijadulkan berlangsung pada 11 hingga 13 September depan di Bukit Gambang Resort City Pahang. Pemenang yang berjaya akan mewakili Malaysia ke World Robot Olympiad (WRO) di Chiang Mai, Thailand.
Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 302 views