150 sertai Seminar Wanita Profesional 2023
KUANTAN, 9 November 2023 - Seramai 150 peserta dalam kalangan wanita menghadiri Seminar Wanita Profesional 2023 bertempat di Hotel Grand Darul Makmur bagi meningkatkan pemahaman dan pengetahuan peranan wanita demi menjaga keharmonian, kelestarian keluarga dan ummah.
Program sehari itu menampilkan penceramah-pencermah hebat yang terdiri daripada Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dr. Aznita Iryany Mohd Noor yang menyampaikan tajuk ‘Wanita dan Risiko Kanser’.
Pembentangan daripada Pendakwah Bebas, Datuk Dr. Norhafizah Musa dengan tajuk ‘Wanita: Isteri vs Kerjaya’ juga banyak memberikan infomasi dan tip bagi membahagikan peranan wanita dalam kerjaya dan keluarga.
Turut dibincangkan topik ‘Sihir Pemisah: Sayang Jadi Benci’ yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Dr. Mahyuddin Ismail dan diikuti dengan Nur Munirah Mustaffa yang merupakan Peguam Syarie Negeri Pahang dengan tajuk ‘Harta Sepencarian: Hak Seorang Isteri’.
Seminar anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Negeri Pahang (TERATAI) itu dirasmikan oleh Setiausaha TERATAI Datin Hajah Norziana Yusoff yang mewakili Yang di-Pertua TERATAI, Datin Sri Dato' Hajah Burhah Mohammad.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, program yang julung kali dianjurkan ini bertujuan untuk mengupas dan memberi pencerahan kepada para peserta tentang ilmu kesihatan, kewangan, emosi serta pengurusan diri dan kerjaya.
“Seperti yang kita ketahui pelbagai cabaran yang dilalui oleh para wanita dalam mengharungi hidup seharian sebagai seorang isteri, ibu, anak dan kerjaya.
“Wanita memainkan peranan penting dalam perjalanan hidup setiap insan.
“Setiap tahun, Hari Wanita disambut bagi menghargai dan mengiktiraf kejayaan yang diperoleh golongan wanita di seluruh negara tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya dan ekonomi,” katanya.
Ujar beliau lagi, peranan wanita pada masa kini setanding dengan kaum lelaki,
“Wanita kini dilihat lebih hebat dan kuat dalam menghadapi pelbagai cabaran serta liku kehidupan.
“Kehebatan wanita dilihat dalam pelbagai bidang dan menjadi sumber inspirasi kepada semua orang.
“Diharapkan semua peserta dapat mengambil semua ilmu yang dibentangkan dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian dan menjadi wanita yang hebat dalam segala bidang yang diceburi,” katanya.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 72 views