2 staf UMPSA terima sijil tamat program Kepimpinan Wanita SheLeads anjuran AKEPT
BANDAR ENSTEK, 3 November 2026 – Dua staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membuktikan komitmen memperkasakan barisan kepimpinan wanita apabila berjaya menamatkan program SheLeads 2026.
Para peserta dirai pada Majlis Perasmian Penutup dan Graduasi yang berlangsung di Dewan Utama, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).
Program anjuran AKEPT, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu dilaksanakan menerusi jalinan kerjasama strategik bersama Universiti Malaya (UM), Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM) serta Asian Women’s Leadership University College (AWLUC).
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir hadir menyampaikan sijil kepada Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC), Dr. Suhaidah Hussain dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Mimi Rabita Abd. Wahit.
Dalam ucapannya, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry berkata, negara Malaysia mempunyai ramai wanita berkelayakan untuk memegang jawatan kepimpinan, namun institusi perlu menyediakan ruang, mengenal pasti bakat lebih awal serta membina laluan pembangunan yang membolehkan mereka bersedia memikul tanggungjawab lebih besar.
“Perwakilan wanita dalam kepimpinan pelapis universiti awam (UA) yang merangkumi jawatan dekan dan pengarah pusat telah mencapai 46 peratus, manakala perwakilan di peringkat kepimpinan tertinggi yang melibatkan Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan jawatan setaraf berada pada 26 peratus.
“Pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif dalam penyertaan wanita di peringkat kepimpinan IPT, namun usaha perlu diteruskan bagi mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita di semua peringkat organisasi,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Profesor Dr. Suhaidah, program ini sebagai salah satu inisiatif berimpak tinggi yang dirangka khusus untuk mempertingkatkan kompetensi kepimpinan wanita di UA bagi memimpin dan mentransformasi institusi pendidikan tinggi (IPT).

“Penyertaan ini memberi peluang para peserta untuk merangka program sekembalinya di kampus bagi menggalakkan pembangunan kepimpinan wanita, memperkukuh jaringan profesional serta memupuk budaya kecemerlangan dalam kalangan pemimpin masa hadapan,” katanya.
Manakala Mimi Rabita berkata, peranan mentor dalam program SheLeads 2026 banyak membantu dalam percambahan idea dan pengalaman korporat bagi mengurus kepimpinan di pelbagai peringkat pengurusan.
“Sepanjang program peserta telah melalui empat fasa latihan intensif sepanjang sembilan bulan melibatkan Sesi Webinar (4 sesi), Latihan Kepimpinan Bersemuka (Onsite Leadership Training) merangkumi 4 modul, Sesi Pementoran (Mentoring Session) dan Fasa Akhir: Pelaporan Pementoran (Mentoring Reporting) sebelum majlis graduasi,” katanya.
Turut berlangsung Sesi Forum bertajuk ‘Tadbir Urus Transformatif dalam Pendidikan Tinggi: Mentakrif Semula Kepimpinan Melepasi Siling Kaca (Glass Ceiling)’ bersama Profesor Kehormat Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Rosna Awang Hashim yang tampil sebagai ahli panel utama bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Habibah A Wahab.
Profesor Madya Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan dari Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), UUM pula bertindak sebagai moderator, memandu kelancaran perbincangan serta mencorakkan pertukaran idea sepanjang forum berlangsung.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kegigihan serta kejayaan kedua-dua staf wanita berkenaan mengharungi program intensif selama sembilan bulan ini.
Pada acara peluncuran Sheleads 2026 sebelum ini, beliau turut berpeluang berkongsi dalam forum kepimpinan sebagai Naib Canselor keenam UMPSA dan wanita pertama yang dilantik menerajui UMPSA.
Beliau turut mencipta sejarah sebagai antara profesor termuda Universiti Malaya (UM)_apabila dilantik ke jawatan profesor pada tahun 2010, pada usia 40 tahun.
Sebagai ahli akademik dan penyelidik, beliau turut diiktiraf sebagai Fellow of The Royal Society of Chemistry (FRSC) dan disenaraikan dalam World’s Top 2% Scientists oleh Elsevier–Stanford University tahun 2026.
Profesor Ts. Dr. Yatimah turut menaruh pengharapan tinggi agar kejayaan ini menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga kerja UMPSA, khususnya barisan staf wanita untuk terus melangkah berani dalam meningkatkan kemahiran kepimpinan transformatif dan dapat diaplikasikan sepenuhnya demi memperkukuh institusi dan melonjakkan UMPSA ke persada kecemerlangan global.
SheLeads 2026 merupakan program pembangunan kepimpinan nasional pertama seumpamanya yang dikhususkan kepada ahli akademik dan pentadbir wanita dalam sektor pendidikan tinggi, dengan pelaksanaan tiga fasa merangkumi siri webinar dari bulan Mac hingga Mei, latihan intensif secara bersemuka pada Jun serta sesi pementoran dan libat urus bersama pemimpin kanan industri dari Ogos hingga Oktober 2026.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah AKEPT, Profesor Dr. Harshita Aini Haroon; Penolong Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Profesor Dr. Yvonne Lim Ai Lian; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Jackie Mah serta Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Women's Leadership University College (AWLUC), Profesor Dr. Sushila Chang.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 13 views
Reports by: