200 pelajar calon SPM terima manfaat program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik
MERSING, 13 Oktober 2022 - Pelancaran Program Yayasan Petronas empower ECER Akademik menyaksikan seramai 200 orang pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menerima manfaat apabila berpeluang mengikuti Program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik yang dikendalikan pihak UMP Advanced.
Perasmian majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam majlis yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia Mersing.
Hadir sama ialah Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Profesor Madya Ts. Dr. Hamzah Ahmad yang menjalankan fungsi Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced.
Menurut Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina, UMP terpilih oleh pihak Yayasan PETRONAS dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam melaksanakan program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik 2022.
“Program pembangunan modal insan ini bakal mempertingkatkan dan memperkasakan peserta terpilih dengan latihan kemahiran akademik dengan matlamat untuk mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang.
“Selain itu, program ini akan meningkatkan pencapaian akademik pelajar melalui peningkatan kemahiran pembangunan akademik dan peribadi.
“Melalui UMP Advanced, program tajaan Yayasan PETRONAS dengan kerjasama ECERDC ini mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah Mersing,” katanya.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 103 views