Agrobank Sumbang Inisiatif Wang Saku Buat Mahasiswa UMP terpilih
Pekan, 29 April- Seramai 35 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sumbangan termasuk Inisiatif Wang Saku yang diperkenalkan MyGift UMP bernilai RM 17,500 hasil sumbangan zakat pihak Agrobank dalam usaha meringankan beban masyarakat yang memerlukan terutama di kalangan mahasiswa UMP yang memerlukan. Lebih bertuah mereka turut menerima sumbangan takaful bernilai RM 385,000 sebagai manfaaat Pelan Perlindungan Kemalangan Diri & Khairat Kematian yang diserahkan khusus buat mahasiswa daripada keluarga B40.
Sumbangan telah disampaikan oleh Pengarah Agrobank Wilayah Negeri Pahang, Safaruddin Samsuddin kepada Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri. Dr. Daing Nasir Ibrahim bertempat di Dewan Bankuet UMP Pekan.
Prof. Dato’ Sri. Dr. Daing Nasir melahirkan ucapan terima kasih atas inisiatif dan jalinan kerjasama ini bagi sama-sama membantu golongan pelajar yang memerlukan bantuan. Beliau mengharapkan hasil sumbangan ini dapat menampung perbelanjaan dan meringankan beban pelajar ini sepanjang pengajian di UMP.
“Pihak pengurusan UMP sentiasa komited untuk masyarakatkan UMP melalui medium kepakaran teknologi dan gerak kerja kesukarelawanan. Justeru bagi menjayakaan agenda Universiti-Komuniti dalam kerangka perlaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020, UMP sentiasa menyambut baik sebarang hasrat jabatan atau agensi yang ingin berkolaborasi dalam pelbagai bentuk faedah umum,” katanya.
UMP turut mengharapkan sokongan dalam meningkatkan amal jariah menerusi wakaf pendidikan dan endowmen melalui dana MyGift UMP. Projek lain yang dilaksanakan bagi menyokong usaha ini termasuklah Food For All, Gerobok Rezeki #BPACare, UMP Campus Pantry dan MyCafe- Komuniti.
Pada masa yang sama Prof. Dato' Sri Dr Daing Nasir turut menyerahkan sumbangan orang ramai menerusi Tabung MyGift UMP sebanyak RM 140,000 kepada Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) bagi tujuan penyediaan Iftar kepada mahasiswa UMP sepanjang bulan Ramadan nanti.
Hadir sama dalam majlis, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato Dr Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Pengarah PIMPIN, Dr. Mahyuddin Ismail.
UMP juga bakal menganjurkan Festival Ramadan yang antaranya Pertandingan Video Pendek Tazkirah Ramadan, Solat Terawikh Bersama Imam Jemputan, Iftar Jamaie dan Memasak Bubur Lambuk di RTC Kuala Pahang dan Masjid UMP Gambang. Bakal berlangsung juga kolaborasi strategik bersama Etiqa dan Isuzu dalam Program Indahnya Ramadan serta lain-lain program menyantuni anak yatim dan asnaf.
Disediakan Nor Salwana Mohamad Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat
- 86 views