Skip to main content

Aspirasi Naib Canselor jadi pemangkin pemerkasaan sukarelawan UMPSA

GAMBANG, 6 April 2026 – Program Aspirasi Naib Canselor Bersama Sukarelawan Yayasan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berlangsung dengan jayanya di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang baru-baru ini.

Program tersebut menghimpunkan para sukarelawan dalam usaha memperkasa gerakan kesukarelawanan yang lebih strategik, berimpak tinggi dan lestari.

Program ini menjadi medium penting dalam menyampaikan aspirasi kepimpinan universiti selain memperkukuh peranan sukarelawan sebagai agen perubahan dalam pembangunan sahsiah, kepimpinan serta khidmat kepada komuniti. 

Sepanjang tahun 2025, sebanyak 79 program telah dilaksanakan, manakala sehingga kini seramai 793 sukarelawan berdaftar aktif menyokong pelbagai inisiatif kesukarelawanan yang memberi impak kepada masyarakat.

Aspirasi Naib Canselor jadi pemangkin pemerkasaan sukarelawan UMPSA

Majlis turut diserikan dengan persembahan pembukaan yang menyerlahkan semangat kebersamaan dalam kalangan sukarelawan.

Program turut diisi dengan pembentangan aspirasi oleh Ketua Operasi Sukarelawan Yayasan UMPSA, Zaharatul Ajmal yang menekankan kepentingan perancangan strategik, disiplin dan tindakan berterusan dalam membentuk kejayaan sukarelawan.

Beliau turut menghuraikan hala tuju dan lonjakan strategik Kelab Sukarelawan Yayasan UMPSA ke arah memperkukuh ekosistem kesukarelawanan yang tersusun, berdaya tahan dan memberi impak signifikan kepada masyarakat.

Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dalam amanatnya menegaskan kepentingan tiga teras utama iaitu kesukarelawanan, kepimpinan dan kecemerlangan dalam melahirkan mahasiswa holistik.

Beliau turut menyeru para sukarelawan agar terus memupuk nilai empati, memperkukuh kemahiran kepimpinan melalui pengalaman lapangan dan mengutamakan kecemerlangan ilmu sebagai asas kepada sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.

Majlis turut diserikan dengan sesi penyerahan Insentif Kecemerlangan Platinum Yayasan UMPSA kepada 25 orang penerima sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan akademik dan penglibatan aktif dalam aktiviti kesukarelawanan.

Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada sukarelawan untuk terus memperkukuh jati diri, meningkatkan keyakinan serta memainkan peranan lebih signifikan dalam pembangunan komuniti secara mampan, selaras dengan aspirasi universiti dan agenda kelestarian.

Disediakan Oleh: Nor Azlina Ahmad, Yayasan UMPSA

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri