Skip to main content

Baja kompos dari sisa kilang kelapa sawit untuk tanaman

Pekan, 2 Februari- Umum telah mengetahui tanaman kelapa sawit merupakan tanaman pertanian terbesar di negara ini. Justeru, penggunaan kelapa sawit untuk menghasilkan minyak secara besar-besaran pasti meninggalkan sisa tandan kosong yang banyak. Malah, hanya 10 peratus sahaja minyak dapat dihasilkan, manakala 90 peratus lagi merupakan sisa pertanian yang dikenali sebagai biomas.

Sesetengah sisa tersebut dijadikan makanan haiwan siap diproses namun selebihnya akan dibuang begitu sahaja.

Menyedari situasi tersebut, memberikan cetusan  idea kepada penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP)  Dr. Nor Hanuni  Ramli@Said, 34,  menjalankan kajian mengenai penghasilan baja organik daripada sisa kilang kelapa sawit.

Menurut Pensyarah  Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA), menerusi penyelidikan ini juga dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dan pengurusan sisa  kilang banyak terdapat di kilang-kilang kelapa sawit di sekitar UMP dan seluruh negeri  Pahang.

Ujarnya kompos yang terhasil adalah 100% organik. Ia dihasilkan melalui Kaedah Pengomposan iaitu proses penguraian (Pengoksidaan) sisa buangan organik kepada bahan akhir yang stabil serta boleh digunakan semula untuk tanaman.

“Aktiviti penguraian atau pengoksidaan bahan ini dipengaruhi unsur mikro organisma pengudaraan, kelembapan dan nutrien atau bahan di kompos yang bersesuaian,” katanya. 

Selain itu kompos yang terhasil memiliki keperluan asas nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan, serta mempunyai water holding capacity yang tinggi.

Tambahnya lagi produk ini turut menerima geran daripada Lab2Market Grant UMP bagi tujuan menghasilkan produk ini bagi tujuan komersial.

“Kami telah memasarkan baja ini dalam dua jenis saiz iaitu yang bungkusan  berat 1 kilogram (RM 10) dan bagi bungkusan 10 kilogram berharga RM 50.00,” katanya yang pernah membawa produk ini mengikuti Pameran MAHA 2016.

“Kita dapat lihat kesedaran masyarakat Malaysia  terhadap produk-produk organik terutamanya sumber makanan adalah masih rendah berbanding dengan negara lain seperti UK, US dan Singapura,” tanbahnya lagi.

Ujar beliau, di sana, sayur-sayuran dan buah –buahan organik dijual dengan harga sehingga tiga kali ganda lebih mahal berbanding harga sayuran dan buah –buahan yang ditanam yang tidak organik.

Oleh yang demikian, penghasilan produk-produk berasaskan organik ini dapat memberikan pendedahan dan mendidik masyarakat untuk menghasilkan sayuran dan buah buahan yang organik melalui penggunaan baja organik.

Walaupun terdapat banyak produk kompos di pasaran tetapi tidak semuanya tulen. Ini kerana ada pengusaha yang menambah beberapa nutrien daripada sumber yang bukan organik ke dalam baja kompos mereka. 

Beliau berharap ianya  dapat mendidik masyarakat tentang penggunaan bahan-bahan  berasaskan organik dalam kehidupan seharian disamping  menggalakkan masyarakat menanam sendiri sayuran-sayuran yang lebih sihat dan jimat serta meningkatkan ekonomi masyarakat.

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat. 
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri