Chinese New Year Cultural 2023 perkenalkan budaya tradisi masyarakat Cina
PEKAN, 5 Januari 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan program Chinese New Year Cultural 2023 dalam mengukuhkan persahabatan dalam kalangan semua etnik di Malaysia.
Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna, UMP Pekan itu bukan sahaja disambut meriah oleh pelajar UMP malah turut dihadiri pelajar daripada Kolej Vokasional Kuantan, Kolej Profesional MARA Indera Mahkota, Kolej Profesional MARA Seri Iskandar dan Kolej Profesional MARA Beranang.
Hadir merasmikan program ialan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli.
Turut hadir Kaunselor Pendidikan Kedutaan China di Malaysia, Zhao Changtao, Pengarah Confucius Institute (Malaysia) Yong Ying Mei, dan Pengarah Confucius Institute (China), Profesor Madya Dr Wang Haiyan.
Menurut Profesor Dr. Kamal Zuhairi, pembelajaran dan penguasaan bahasa Mandarin bukan semata-mata untuk berkomunikasi malah untuk memahami kebudayaan Cina.
"Bahasa Mandarin kini merupakan antara bahasa yang popular digunakan di dunia malah turut menjadi medium komunikasi diperingkat antarabangsa.
"Penguasaan bahasa asing akan meningkatkan nilai dan kelebihan seseorang seterusnya mampu bersaing dalam pasaran global.
“UMP sebagai sebuah universiti teknikal penguasaan pengetahuan dalam bidang teknikal sahaja tidak mencukupi,” katanya.
Oleh itu katanya, UMP menawarkan kursus bahasa asing seperti bahasa Mandarin dan lain kepada para pelajar.
Sementara itu bagi Zhoa Changtao, hubungan persahabatan antara China dan Malaysia telah terjalin bertahun lamanya yang melibatkan kerjasama baik dari segi politik, ekonomi, perdagangan dua hala, masyarakat dan budaya.
Mengulas lanjut, beliau berkata dari segi kerjasama pendidikan dan pertukaran pandangan, UMP dan Hebei Universiti China telah menubuhkan satu-satunya Confucius Institute (CI) di Pantai Timur pada tahun 2018.
Ujarnya, CI UMP menginovasikan model pendidikan bahasa Mandarin dengan menubuhkan tapak pengajaran yang bertemakan ‘Bahasa Mandarin + teknikal dalam metalurgi’.
“Malahan penawaran kursus bahasa Mandarin dan kemahiran turut mendapat sambutan dari industri dan sosial tempatan,” ujarnya.
Pelbagai aktiviti turut dianjurkan antaranya kaligrafi Cina, seni gunting kertas, persembahan muzik traditional Cina, pemakaian pakaian tradisional dan demonstrasi penyediaan ladu (dumpling) dan sepak bulu ayam.
Turut diadakan aktiviti oleh guru bahasa sukarelawan CI UMP seperti kaligrafi Cina, Seni Gunting Kertas, Persembahan Muzik Traditional Cina, pemakaian pakaian traditional dan demonstrasi membuat ladu (dumpling).
Turut disediakan sumbangan angpao bagi tetamu yang berjaya mempelajari enam aktiviti budaya di sini.
Dalam pada itu, UMP menerima sumbangan hadiah kecemerlangan Duta Besar China melibatkan seramai 47 pelajar Program Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Beijing Jiatong University (BJTU) China yang bakal menyambung pengajian di BJTU pada tahun ini.
Selain itu, seramai 363 orang warga Malaysia yang bekerja di Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. (ASSB) sedang mengikuti kursus teknikal Bahasa Mandarin yang dianjurkan oelh CI UMP sejak bulan Julai untuk meningkatkan komunikasi antara staf Malaysia dengan staf dari China.
UMP menjalinkan kerjasama dengan ASSB dalam usaha akademik bersama komuniti dengan menepati keperluan industri dapat merealisasikan kegemilangan dan keunggulan pendidikan UMP.
Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.
- 149 views