Duta kecil UMPSA semarak Hari Malaysia di Islamabad
ISLAMABAD, 14 September 2026 – Seramai enam pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tampil sebagai ‘duta kecil’ Malaysia apabila membawa seni dan budaya tempatan ke pentas antarabangsa menerusi persembahan sempena Sambutan Hari Malaysia Ke-69 dan Festival Makanan Malaysia di Islamabad, Pakistan.
Kumpulan Kesenian Kelab Kencana Pawana di bawah kelolaan Pusat Kebudayaan UMPSA itu diberi kepercayaan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad untuk menjayakan persembahan yang berlangsung di Serena Hotel Islamabad dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia pada 14 hingga 16 September lalu.
Delegasi berkenaan diketuai Pengarah Pusat Kebudayaan UMPSA, Mohd Zaki Ahmad yang turut mengiringi para pelajar sepanjang program berlangsung.

Persembahan Kencana Pawana membuka tirai pada 16 September menerusi Majlis Sambutan Hari Malaysia Ke-69 di Shees Mahal Hall, Serena Hotel dengan menampilkan empat tarian tradisional termasuk Inang, Zapin, Joget serta tarian etnik Orang Asli.
Keunikan persembahan berkenaan bukan sahaja menyerlahkan kepelbagaian warisan seni Malaysia, malah menjadi medium memperkenalkan identiti dan budaya negara kepada tetamu serta pengunjung antarabangsa yang hadir.
Menurut Mohd Zaki, pengalaman mengendalikan persembahan di Pakistan memberikan pendedahan baharu kepada delegasi khususnya dari aspek pengurusan acara dan pematuhan prosedur keselamatan yang berbeza berbanding di Malaysia.
“Standard Operating Procedure (SOP) bagi penganjuran majlis di Pakistan agak berbeza kerana kawalan keselamatan amat ketat.
“Bagaimanapun, kami menerima nasihat dan panduan daripada pegawai Wisma Putra serta Penasihat Pertahanan dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad sepanjang berada di sini.
“Pengalaman itu turut memberi peluang kepada pelajar memperoleh pendedahan pertama dalam menguruskan program dan persembahan pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Kencana Pawana kemudiannya meneruskan persembahan pada 17 September menerusi tarian Visit Malaysia 2026 sempena Majlis Perasmian Festival Makanan Malaysia serta persembahan di dewan makan Zamana, Serena Hotel.
Ketua kumpulan tarian, yang jupe merupakan pelajar tahun ketiga Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTTKP, Era Racmaniah Kesuma Zamri berkata, pengalaman membuat persembahan di luar negara khususnya di bumi Islamabad memberi kesan mendalam kepada semua peserta.
“Sepanjang program, kami perlu berurusan dengan pelbagai pihak termasuk pengurusan Serena Hotel dan ketua cef bagi memastikan persembahan yang disediakan bersesuaian dengan tema serta perjalanan majlis.
“Pengalaman ini mengajar kami untuk lebih yakin berkomunikasi, bekerjasama dan menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar tahun kedua Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Mohammad Fakhrul Azhar berkata, peluang berinteraksi dengan individu daripada pelbagai latar belakang menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang berada di Islamabad.

“Interaksi bersama pengunjung dan pengurusan hotel dari pelbagai negara turut membantunya meningkatkan keyakinan menggunakan bahasa Inggeris dalam situasi sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, penginapan delegasi sepanjang program ditaja oleh Serena Hotel, sebuah hotel bertaraf lima bintang di Pakistan, manakala aspek kebajikan dan penyelarasan delegasi turut mendapat perhatian Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad.
Pengalaman tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar UMPSA mengetengahkan seni budaya Malaysia di persada antarabangsa, malah memperkaya kemahiran insaniah, komunikasi dan pengurusan acara dalam kalangan peserta.
Pusat Kebudayaan UMPSA berharap kerjasama strategik bersama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membuka lebih banyak ruang kepada pelajar universiti itu untuk mengangkat seni, budaya dan identiti Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Disediakan Oleh: Adibah Shaharom, Pusat Kebudayaan
- 47 views
Reports by: