Skip to main content

Bangga mewakili Malaysia

Kepala Batas: "Walaupun bukan dengan senjata, saya bersyukur kerana dapat 'bertempur' di medan antarabangsa yang menguji pengetahuan dan keberanian saya bersaing dengan peserta luar negara," kata Afeef Hamizan Mohd Huzaizi.

Afeef Hamizan, 20, adalah wakil tunggal yang mewakili negara dalam Pertandingan Penguasaan Bahasa Cina Universiti Sedunia kali ke-25 bermula 4 hingga 24 Ogos lalu di Beijing dan Fujian, China.

Lebih membanggakan, Afeef Hamizan menjadi salah seorang daripada peserta yang memenangi tempat ketiga dalam pertandingan berkenaan.

Berkongsi kisahnya, Afeef Hamizan berkata, dia bukan hanya gembira dapat mewakili negara buat julung kalinya namun berbangga kerana mencipta rekod peribadi bersaing di pentas antarabangsa dalam bulan kemerdekaan.

"Saya ambil masa kira-kira setahun juga untuk buat persediaan malah perlu bersaing di peringkat universiti dalam negara dahulu sebelum layak bertanding di luar.

"Cabarannya adalah kerana saya bukan major dalam bahasa Mandarin jadi perlu ambil inisiatif untuk meningkatkan tatabahasa.

"Jujurnya agak susah kerana perlu sediakan tiga ucapan, mengikuti kuiz, membuat persembahan dengan bermain gitar sambil menyanyikan lagu Mandarin dan bersaing dengan 157 peserta dari negara lain," katanya kepada Harian Metro.

Meskipun begitu, Afeef Hamizan mengakui pengalaman itu mengajarnya menjadi insan yang lebih berani dan bersungguh dalam melakukan sesuatu.

"Cuma rezeki saya sampai di situ saja dan tak dapat membawa gelaran juara.

"Andai ada peluang akan datang, saya mahu turut serta kerana ingin terus membanggakan negara. Lagipun, belum ada anak Malaysia memenangi pertandingan berkenaan dan saya harap dapat menjadi yang pertama.

"Terima kasih buat keluarga terutama ibu, Nina Manaff, 44, dan ayah, Mohd Huzaizi, 49, kerana tak putus beri sokongan sejak dulu hingga kini selain guru pengiring, Leong Hui Theng yang membantu sepanjang di China," katanya yang juga penuntut Program Dual Ijazah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)- Beijing Jiaotong University (BJTU), China dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik di kampus Pekan, Pahang.

Berkongsi erti kemerdekaan, Afeef Hamizan berkata, ia membawa pengertian luas dan baginya, merdeka adalah satu lambang kebebasan yang perlu dihargai kerana dikecapi dengan darah dan keringat pejuang terdahulu.

"Jadi kena bersyukur dengan kemerdekaan dikecapi kerana di Malaysia, kita bukan hanya boleh hidup bebas, harmoni dan aman damai.

"Sebaliknya, kita juga bebas mempelajari pelbagai bahasa tanpa ada siapa yang menghalangnya.

"Disebabkan itu, kita perlu menghargainya juga menggunakan kebebasan bagi menuntut sebanyak mungkin ilmu termasuk bahasa kerana dapat menyatupadukan kita sebagai rakyat yang hidup dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama," katanya yang juga anak sulung daripada tiga beradik.

Sebagai rakyat Malaysia, pencipta kandungan dikenali dengan kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin itu berharap kemerdekaan dikecapi dan kejayaan anak tempatan akan terus menjadi inspirasi untuk melakar lebih banyak kejayaan sekali gus berusaha mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Bagi saya, setiap rakyat Malaysia boleh membanggakan nama negara dengan cara tersendiri dan dalam bidang masing-masing.

"Anak muda khususnya adalah pelapis jadi saya berharap generasi akan datang terus memacu negara supaya terus maju, berdaya saing dan aman damai.

"Teruslah menuntut ilmu dan jangan pernah berhenti malah saya bersyukur kerana pengetahuan yang ada membawa saya ke negara China," katanya.

Author
azwin