Jelajah Alumni Jalin Hubungan Erat Alumni UMP
Pulau Pinang, 2 Mac – Pertemuan seramai 60 orang alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang hadir menjayakan Program Jelajah Alumni – Alumni Industry Networking Hi-Tea bagi Zon Utara baru-baru ini gamat apabila masing-masing mengimbau kenangan sewaktu menjalani kehidupan kampus. Program dianjurkan Unit Perhubungan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dengan kerjasama Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) di Hotel The Light, Pulau Pinang.
Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang memberi ruang kepada alumni untuk berkongsi maklumat terkini mengenai UMP, Previu Industry Network Alumni Platform (INAP), kepentingan pengemaskinian data dalam sistem baharu serta perkongsian idea juga sumbangan alumni kepada pihak universiti ke arah meningkatkan penarafan universiti.
“Alumni digesa untuk mengisi dan mengemaskini maklumat di dalam sistem baharu yang telah dinaiktaraf sejak tahun lalu. Dengan ini ianya dapat mendekatkan hubungan antara alumni dan universiti juga menghubungi mereka untuk menyampaikan dan berkongsi tentang perkembangan universiti,” katanya.
Hadir sama dalam majlis, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat & Kualiti (JHKK) Dr. Irene Ting Wei Kiong yang berkongsi tentang pencapaian dan penarafan universiti. Menurutnya, alumni memainkan peranan besar dalam memperbaiki kedudukan UMP pada masa akan datang dan diberi peluang untuk kembali menyumbang kepada UMP sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Pada masa yang sama Pengerusi Majlis Tindakan INAP, Amir Ashraf Hamzah juga berkongsi maklumat tentang struktur jawatankuasa INAP serta perancangan kerjasama antara alumni dengan universiti yang memberi impak positif kepada kedua –dua pihak. Majlis santai bersama alumni dimeriahkan lagi dengan sambutan ulang tahun pernubuhan UMP ke-17.
Bagi graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal Automatif tahun 2016, Muhamad Saiful Azrul Hassan berkata, program seumpama ini sangat bagus kerana memberi peluang kepada beliau untuk mengenali rakan alumni UMP selain boleh membina hubungan baik di luar. Katanaya, tidak ada yang lebih menggembirakan sebagai bekas mahasiswa selain dapat berkumpul sesama rakan lama dan program ini menjadi platform berkesan untuk hubungan universiti dan alumni.
Manakala menurut alumni UMP, Nurul Izzati Pandak Jabo, program Jelajah Alumni ini perlu diteruskan kerana dengan melalui program ini para alumni dapat mengetahui maklumat terkini tentang universiti, seperti contoh maklumat QS Ranking. Dengan ini secara tidak langsung alumni boleh membantu universiti untuk mencapai objektif dalam meningkatkan penarafan. Bukan itu sahaja, graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) ini juga sangat terharu dengan kejutan sambutan hari lahir yang dibuat oleh pihak Unit Perhubungan Alumni dan bangga berpeluang menyambut bersama-sama UMP sempena 17 tahun penubuhan UMP pada 16 Februari lalu.
Komitmen berterusan bersama ini dalam mengumpul dan membina hubungan yang baik bersama alumni UMP akan diteruskan ke Zon Selatan, Timur dan Borneo. Turut hadir memeriahkan Timbalan Naib Canselor(Penyelidikan & Inovasi) Prof. Dato Dr. Mashitah binti Mohd Yusoff, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat & Kualiti), Prof. Dato Dr. Ishak Ismail, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat, Prof Dr. Jamil Ismail serta Pro Pendaftar, Abd Rahman Hj Safie.
Berita disediakan oleh Nurizzatul Alin Binti Ahmad Bastani dan foto oleh Muhammad Kamarulzaman Safie dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.
- 201 views