Keindahan bunga Sakura warnai UMP
PEKAN, 30 Mac 2021 - Fenomena musim bunga Tekoma atau lebih dikenali sebagai ‘Sakura’ kembali menceriakan pemandangan di Malaysia.
Kebiasaannya pada bulan Mac, kelihatan banyak bunga-bunga cantik berwarna merah jambu muda dan putih mula memekar dan kelopak bunga yang gugur cantik melatari permukaan tanah.
Cuaca panas dan lembap adalah fenomena yang biasa di kawasan tropika seperti Malaysia tidak seperti di Jepun ada empat musim bunga, panas, luruh dan sejuk.
Di Jepun, musim bunganya jatuh pada bulan Mac hingga Mei dan pada waktu inilah bunga akan mekar antaranya bunga Sakura dengan cantik sekali.
Pemandangan yang tidak selalu boleh dilihat itu pastinya menarik perhatian orang ramai dan menjadi lokasi tumpuan untuk mengambil gambar malah menjadi tarikan golongan pencinta alam berswafoto dan merakam gambar kenangan untuk dimuatkan dalam media sosial.
Bagi Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Dr Mohamad Idris Ali, beliau mendapati fenomena pokok berbunga warna putih dan merah jambu yang merimbun ini turut terdapat di beberapa kawasan di dalam kampus UMP Pekan dan Gambang.
“Suasana serupa turut dapat sama dinikmati di beberapa kawasan di dalam kampus sehingga menarik perhatian warga kampus untuk mengabadikan memori di bawah pokok tersebut.
“Kita dapat saksikan ramai yang memberhentikan kenderaan masing-masing untuk mengambil peluang bergambar di kawasan pokok tekoma ataupun nama saintifiknya Tabebuia Pentaphylla yang mula mekar ini,” katanya.
“Pokok yang berbunga sebanyak dua kali setahun ini, kini diwarnai dengan pelbagai warna seperti suasana musim sakura di Jepun dan Korea Selatan,” katanya.
Menurut beliau, ia akan berbunga antara bulan Mac hingga April dan September hingga Oktober pada setiap tahun.
“Selain itu, keistimewaan pokok ini berfungsi seperti antibakteria dan antimalaria selain sesuai dijadikan halangan angin, pokok hiasan di jalan raya dan juga perumahan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus PPPH, Ernie Nurazlin Lizam yang mengagumi panorama indah itu berkata, ramai yang teruja kerana pemandangan sedemikian jarang berlaku di negara ini.
“Pokok ini bersaiz sederhana besar iaitu antara 15 hingga 20meter tinggi selain membentuk rimbunan daun di atas pokok secara bertingkat-tingkat,” katanya.
Musim pokok sakura bukanlah asing di Malaysia, namun tahun ini mekar bunga ini kembali tular di Malaysia berkemungkinan disebabkan oleh faktor pandemik Covid-19 yang menghalang untuk orang ramai ke luar negara.
Justeru, ramai yang berkongsi gambar menarik ini sehingga pokok Sakura ini mula mendapat perhatian.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Binti Zulkapri, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 272 views