Kejohanan SUKUM Julang Semangat Erat Hubungan Baik Universiti Awam
Kuantan, 11 Ogos- Penganjuran Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) dilihat terus menyatu dan menjulang semangat erat hubungan baik dalam kalangan warga staf Universiti Awam (UA) seluruh Malaysia. Kejohanan kali ini yang melibatkan penyertaan 20 buah Universiti Awam dan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Selain menyediakan medan untuk bertanding, ianya membolehkan staf yang mengambil bahagian mengeratkan silaturrahim dan bertukar idea untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.
Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan KPM, Datuk Kamel Mohamad, berkata SUKUM berupaya menyatukan semangat perpaduan warga staf universiti terutamanya membangunkan mutu sukan dan pendidikan peringkat universiti seterusnya negara.
"SUKUM menjadi wahana saling berhubung antara satu sama lain bagi memartabatkan sukan seiring pendidikan di negara ini. Penglibatan para pegawai dan atlet dalam kontinjen masing-masing dalam SUKUM Ke-43 ini merupakan penterjemahan wehdatul fikr dan wehdatul amal dalam konteks institusi-institusi yang diwakili. Selain amat membantu dalam pembangunan sukan negara melalui pembangunan prasarana, fasiliti sukan dan persediaan atlet," katanya yang membacakan teks ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Dr. Maszlee Malik ketika merasmikan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) ke-43 di Kompleks Sukan UMP, di sini baru-baru ini. Hadir sama Naib Canselor UMP, Prof. Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Abd. Hamid Majid.
Dalam pada itu, tentu sekali misi setiap kontinjen untuk memburu kejuaraan tersebut menuntut reka bentuk strategi yang tertentu yang didasarkan kepada permuafakatan dan persepakatan setiap ahli pasukan. Begitulah juga halnya dalam konteks yang luas sebagai warga pendidikan tinggi yang dinaungi KPM.
Beliau berharap para atlet dari semua kontinjen dapat menghayati semangat kesukanan yang tinggi dalam persaingan memburu kejuaraan. Walaupun bersifat sebuah pertandingan, namun apa yang lebih penting ialah keistimewaan SUKUM sebagai medan professional networking secara santai.
Sementara itu, Prof Dato Sri Dr Daing Nasir mengalu-alukan ketibaan semua pegawai dan atlet dari semua 21 kontinjen yang mengambil bahagian dalam SUKUM Ke-43 yang menyaksikan UMP tuan rumah kejohanan. Selain itu berharap agar semua atlet berpuas hati dengan sambutan dan layanan yang sedaya-upaya cuba pihak penganjur berikan sebaik mungkin sepanjang pemukiman di UMP Kampus Gambang dan Pekan. Dalam pada itu menikmati juadah tradisi istimewa Pahang dan sekiranya berpeluang melawat destinasi pelancongan yang menarik sekitar negeri Pahang yang kaya dengan alam dan fauna.
Turut berlangsung lafaz bacaan ikrar kejohanan yang diketui atlet Sepaktakraw UMP, Muhammad Syazwan Husin. Beliau turut membawa obor kejohanan bersama empat atlet lain iaitu atlet Olahraga (Decathlon) Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Malik Ahmad Tobias, Atlet Olahraga Universiti Malaysia Perlis (UniMap), Nazmizan Muhammad, Atlet Sukan Olahraga UniMap,Muhammad Idris Zakaria dan Atlet Olahraga Lontar Peluru, Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Adi Alifuddin Husin.
Kejohanan SUKUM menyaksikan seramai 2600 atlet dan pengurus pasukan membabitkan 21 kontingen universiti awam berkampung di UMP sebagai tuan rumah dengan mempertandingkan 17 acara sukan seperti futsal, basikal, olahraga, badminton, sepak takraw, catur, tenis, ping pong, lawn bowls, memanah, petanque, temping boling, golf, bola sepak, memancing, bola tampar dan bola jaring.
Majlis turut dimeriahkan dengan pesembahan oleh kumpulan tarian Kencana Pawana UMP melibatkan 90 mahasiswa dan 10 orang alumni UMP dengan persembahan 13 buah tarian tanpa henti mengikut negeri yang ditarikan oleh kumpulan kencana pawana bermula dari negeri Sarawak hingga ke Pahang dengan diiringi kumpulan muzik kumpulan “UMP The Special manakala persembahan kumpulan pancaragam dijayakan pelajar SMK Perempuan Methodist Kuantan.
- 87 views