Kembara TVET UMPSA@Kuala Krau sebarluaskan Pendidikan Inklusif
KUALA KRAU, 11 Oktober 2024 - Program Kembara TVET UMPSA@Kuala Krau bukan sahaja bertujuan untuk mempromosikan kelebihan pendidikan TVET, malah juga untuk mendekatkan masyarakat umum dengan potensi serta peluang yang ditawarkan melalui bidang ini.
Program sehari itu berjaya membawa mesej pendidikan melalui inisiatif ‘Profesor Turun Padang’ yang membolehkan pakar akademik UMPSA berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, usaha ini seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pelaksanaan Strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) iaitu selari dengan komitmen universiti terhadap pembangunan pendidikan inklusif, terutamanya untuk pelajar Orang Asli dan pelajar pendidikan khas.
“Pihak KPT turut memperluaskan peluang pendidikan dengan mewujudkan laluan khas kepada golongan B40, OKU, Orang Asli dan atlet untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) di peringkat sijil, diploma, asasi dan ijazah sarjana muda.
“Malahan, golongan ini hanya perlu melepasi syarat am dan syarat khas program seperti ditetapkan oleh universiti yang dipilih,” ujarnya.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program Kembara TVET berlangsung, antaranya lima program yang dianjurkan oleh UMPSA yang dijalankan secara serentak di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau iaitu Pengenalan dan Asas Penerbangan Dron, Program, ‘Pick and Tell: Learn English Outdoor’, Inklusif, Program Motivasi bersama Yayasan UMPSA dan Modul ‘Basic Skills in Design’ yang melibatkan 50 orang sukarelawan staf dan pelajar UMPSA.
Seramai 400 orang pelajar termasuk guru SMK Kuala Krau turut serta dalam program tersebut.
Turut berlangsung majlis menandatangani Surat Hasrat Kerjasama (LOI) di antara UMPSA dan SMK Kuala Krau oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr Yuserrie Zainuddin dan Pengetua SMK Kuala Krau, Hamdan Ramli.
Turut sama hadir Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah), Profesor Madya Dr. Hafizoah Kassim, Pengarah Unit OKU UMPSA merangkapPengerusi PPDK DAMAi, Dr. Munira Abdul Razak dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Abd. Wahit.
Program anjuran Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Jabatan Canseleri itu mendapat kerjasama Pusat TVET, Pusat Bahasa Moden (PBM), Unit Perkhidmatan OKU UMPSA, Yayasan UMPSA, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dan Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (PSPe).
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 142 views