Mahasiswa FKASA pupuk semangat cintakan alam sekitar
Kuantan, 27 Oktober – Menyedari kepentingan penjagaan alam sekitar tanggungjawab bersama mendorong seramai 45 mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA) termasuk dari luar negara berganding bahu menjayakan program khidmat komuniti bagi membersihkan pantai serta menanam 500 pokok bakau di Pantai Chendor Kuantan.
Bagi Dekan FKASA, Dr Mohamad Idris Ali, menjaga alam sekitar menjadi tanggungjawab kita semua. Namun kurang kesedaran mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar membuatkan ramai individu bersikap mementingkan diri sendiri dengan membuang sampah di merata-rata tempat termasuk laut dan sungai. Ini mengakibatkan sungai dicemari pelbagai benda asing termasuk bahan kimia.
Ujarnya, program ini dapat memberi pendedahan mahasiswa FKASA khususnya kepada mahasiswa antarabangsa tentang kepentingan aspek pemuliharaan pantai. Aktiviti itu juga dapat membuka mata para sukarelawan untuk lebih memahami pentingnya menjaga alam sekitar serta meningkatkan kesedaran terhadap bahaya pencemaran pantai.
“Selain daripada menanam pokok, aspek kebersihan juga perlu dititikberatkan kerana pembuangan plastik, straw minuman, botol dan sampah sarap lain boleh mendatangkan bahaya kepada kehidupan laut terutama penyu yang menyangka plastik ini adalah obor-obor yang merupakan makanan mereka,” ujarnya. Beliau juga amat berpuashati dengan kesungguhan sukarelawan menyumbang tenaga membersihkan pantai. Hadir sama Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar), Noram Irwan Ramli dan pengarah program, Dr. Doh Shu Ing.
Bagi Dr. Doh, program bermula sesi penerangan berkenaan dengan pokok bakau dan ianya ditanam agar kehadiran pokok-pokok bakau sebagai barisan penghadang bagi menahan ombak atau arus deras seperti tsunami. Mereka kemudiannya dibawa ke kawasan pantai sejauh 10 km dan mengumpulkan lebih 30 bungkusan sampah di kawasan ini. Sukarelawan turut berpeluang melepaskan 20 ekor anak penyu ke laut. Penyu merupakan hidupan marin yang semakin diancam kepupusan dan bilangan yang mendarat di pantai-pantai di negara ini juga kian berkurangan.
Disediakan oleh Emma Melati Burhanuddin dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat.
- 128 views