Mahasiswa UMP bantu ringankan beban warga emas
Pekan, 18 September- Andai boleh diundur masa, banyak yang ingin dilakukan warga emas, Che Jah Embong, 61, yang hilang penglihatan kedua-dua matanya akibat serangan strok hingga mengakibatkan beliau tidak dapat melihat sekaligus mengubah kehidupan mereka sekeluarga sejak pertengahan tahun lalu.
“Sekiranya diizinkan Allah dikurniakan mata untuk dapat melihat semula, saya ingin melihat ayat suci Al-Quran, wajah anak-anak dan orang-orang yang membantu saya,” katanya dengan deraian air mata.
Kehadiran mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini menghulurkan bantuan dengan membaikpulih dan menceriakan rumahnya memberikan semangat baharu buat Che Jah dan keluarganya menerusi program FaceliftUMP.
“Terima kasih UMP kerana sudi membantu saya sekeluarga. Saya tidak sangka menerima bantuan seperti membina tandas orang kurang upaya, menambahbaik keadaan rumah, menngecat rumah, memberi tikar getah dan macam -macam lagi,” katanya.
Jika sebelum ini rutinnya memasak untuk suami dan anak-anaknya dan mengambil upah memproses keropok pada sebelah petangnya. Namun kini, Che Jah hanya mampu berbaring dan pergerakannya juga terhad sekitar dalam rumah sahaja. Apatah lagi, badannya yang sering lemah menyukarkan beliau untuk mengurus diri dan banyak bergantung kepada suaminya, Musa Zahari, 66 tahun.
Bagi Musa, beliau tidak menyangka hasrat untuk membaik pulih rumah tercapai apabila pihak UMP datang membantu bukan sahaja membaik pulih rumah malah turut membina tandas OKU untuk isterinya.
Malahan, bantuan UMP tidak terhenti di situ sahaja malah terbaharu mahasiswa UMP juga turut datang ke rumah untuk bersama-sama mengemaskan rumah kami dan serta memasangkan langsir dan tikar baharu.
Tambahnya, bantuan ini banyak meringankan beban mereka sekeluarga. Memandangkan kesihatannya juga yang semakin merosot kini beliau mengambil keputusan untuk menemani isteri di rumah sahaja. Beliau juga bersyukur kerana kedua-dua anaknya yang bekerja kilang di bandar Pekan turut menanggung perbelanjaan mereka seharian.
Dalam pada itu bagi sukarelawan UMP, mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Nuralia Azman melahirkan rasa bersyukur kerana berpeluang menyertai program kesukarelawan ini. Baginya suatu kepuasan apabila dapat membantu golongan yang memerlukan.
Walaupun beliau dan rakan- rakan tidak dapat membantu dari segi kewangan namun dapat menyumbang tenaga. Program sebegini dapat membantu mahasiswa untuk membina jati diri yang seharusnya disemai dan disuburkan dalam diri setiap mahasiswa.
“Semangat kesukarelawan ini juga merupakan proses pembelajaran yang dapat mematangkan diri mahasiswa sehingga di alam pekerjaan nanti,” ujarnya yang sering mengikut aktiviti kesukarelawanan.
Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 74 views