Mahasiswa UMP Prihatin Bantu Selamatkan Nyawa Insan lain
Kuantan, 12 Februari – Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 3 (PEKA 3) menganjurkan program Lets Be A Hero yang mendapat kerjasama daripada Pusat Kesihatan UMP Gambang, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Pusat Pergigian Daerah Kuantan.
Program ini dijalankan dengan harapan dapat melahirkan mahasiswa yang prihatin membantu insan lain serta mempunyai rasa simpati dan kasih sayang terhadap orang yang lebih memerlukan. Katanya, sumbangan yang dihulur mungkin nampak kecil, namun memberi impak besar sehingga mampu menyelamatkan nyawa insan lain.
Menurut pengarah program, Aisyah Yunus,23, program ini juga dapat memberikan kesedaran tentang amalan gaya hidup sihat dengan menderma darah, penerangan tentang menderma organ bagi menyelamatkan nyawa pesakit lain di samping kepentingan terhadap penjagaan kebersihan gigi.
“Ini merupakan kali kedua saya menderma darah dan merupakan suatu pengalaman yang berharga kerana tidak semua orang dapat menderma. Saya beruntung dan seronok diberikan peluang ini untuk berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat,” ujar Nadzirah Azhary yang merupakan salah satu penderma darah di situ. Baginya, program seperti ini perlu diperbanyakkan lagi untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk merasai pengalaman menderma darah juga membuat kebaikan .
Manakala terdapat juga penderma darah yang tidak dapat menderma kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan memandangkan kelayakan seseorang untuk menderma darah akan ditentukan oleh Pegawai Perubatan atau Jururawat yang bertugas. Namun ianya tidak menjatuhkan semangat bagi Ummi Alia Mohd. Zahari, 21 yang juga merupakan penuntut UMP untuk meneruskan kegiatan murni ini.
“Disebabkan terkilan kerana tidak dapat menderma darah pada kali ini, jadi saya berhasrat untuk mendaftar sebagai penderma organ bagi membantu insan lain yang sangat memerlukan untuk hidup,” katanya. Kesedaran mahasiswa yang sangat mementingkan nilai prihatin dan usaha membantu insan lain yang lebih memerlukan ini perlu diteruskan dalam melahirkan mahasiswa yang berkualiti tinggi pada masa hadapan.
Disediakan oleh Awani Rangers UMP, Nauwar Ali dari Kelab Media Massa UMP dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat
- 183 views