Skip to main content

Minggu EKSA PBM meriah

PEKAN 29 Julai 2024 – Persekitaran kerja yang kondusif, selesa dan nyaman telah terbukti dapat meningkatkan gerak dan hasil kerja yang lebih produktif dan bermutu. 

Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang mula diperkenalkan pada tahun 2014 adalah bertujuan mengimplementasikan imej korporat, amalan hijau, kreativiti dan inovasi, kondusif dan kepelbagaian agensi.

Ia telah diwujudkan di setiap jabatan dan agensi sektor awam dalam mempraktikkan amalan pembudayaan persekitaran kerja yang dapat meningkatkan kreativiti, inovasi dan daya saing terhadap kakitangan dan pekerja sektor awam. 

Bagi terus membudayakan EKSA dalam persekitaran kerja, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Minggu EKSA PBM 2024 pada 22 hingga 25 Julai 2024.

Menurut guru bahasa yang juga Penyelaras EKSA PBM, Hanisah Bon (Kasbon), bagi menyahut semua objektif dalam pengamalan EKSA, pelbagai telah aktiviti dilaksanakan sepanjang minggu itu. 

Minggu EKSA PBM meriah

“Ia bermula dengan aktiviti audit kendiri dan semua warga zon EKSA diminta untuk melengkapkan maklumat audit kendiri masing-masing dan turut diuji dengan soalan kuiz ‘Celik EKSA’ sebagai enjin pemanas sebelum pelancaran Minggu EKSA. 

“Mereka diberikan lima soalan asas dan umum berkaitan amalan EKSA khususnya di PBM dan daripada markah yang diperoleh, mereka dapat menilai sendiri pengetahuan mereka berkaitan amalan EKSA. 

“Minggu EKSA dimulakan dengan aktiviti gotong-royong perdana yang dijalankan serentak di kedua-dua kampus bermula pada 22 hingga 23 Julai 2024. 

“Setiap warga zon diberikan label-label berkaitan jimat elektrik, alat-tulis, dokumen peribadi yang perlu ditampalkan di ruang kerja masing-masing.  

“Selesai aktiviti gotong-royong, semua barang kitar semula seperti kertas, botol-botol dan kotak-kotak dijual kepada agensi yang membeli barang kitar semula ini,” katanya.

Jualan kitar semula telah dijalankan pada 24 Julai 2024 di kedua-dua kampus dan turut melibatkan pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) seperti Institut Pengajian Siswazah (IPS), Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Penerbit, Perpustakaan dan Pusat Sains Matematik (PSM). 

Tambahnya, daripada aktiviti kitar semula itu menunjukkan amalan EKSA boleh dilaksanakan secara berskala lebih besar jika semua pihak berganding bahu untuk menjayakannya. 

“Bagi terus menjayakan EKSA di PBM, pada 25 Julai 2024 telah dilancarkan Kempen Kesedaran EKSA yang akan berlangsung selama 5 bulan. 

“Kempen ini adalah bertujuan meningkatkan kesedaran warga zon EKSA PBM tentang amalan EKSA iaitu pada setiap bulan pada hari yang ditetapkan, semua warga zon akan mengenakan pakaian berwarna sama untuk datang bekerja. 

“Pada pelancaran kempen ini, warna hijau dipilih sebagai warna pilihan bulan Julai sebagai simbolik kepada amalan hijau ‘Go Green’. 

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan apabila pada hari itu, hampir keseluruhan warga zon mengenakan pakaian berwarna hijau,” ujarnya. 

Katanya, bagi meningkatkan lagi pengetahuan warga zon EKSA PBM, turut diadakan sesi perkongsian ilmu secara dalam talian oleh Pengarah Ukur Seksyen Pengurusan Korporat di Jabatan Ukur dan Pemetaaan Malaysia (JUPEM), Sr Rabiulkhair Mohd Nor. 

“Selain itu, Kempen Pelupusan Mashaf dan Bahan Bercetak Teks al-Quran turut dilancarkan bermula pada 15 sehingga 25 Julai 2024 bertujuan melupuskan teks-teks mashaf seperti al-Quran dan tafsir al-Quran serta teks-teks bukan mashaf seperti buku-buku teks agama dan percetakan yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran. 

“Kempen yang julung kalinya diadakan ini bukan sahaja mendapat sambutan warga UMPSA tetapi mendapat sambutan baik daripada pihak sekolah dan warga komuniti sekitar UMPSA. 

“Kemeriahan Minggu EKSA pelbagai aktiviti sebelum, semasa dan selepas seminggu ini adalah bukti jelas komitmen dan sikap bertanggungjawab warga zon EKSA PBM dalam mengamalkan dan menjayakan agenda EKSA di UMPSA. 

“Diharapkan semua warga zon EKSA PBM akan terus meningkatkan kualiti dan prestasi kerja dengan pembudayaan EKSA dari semasa ke semasa,” ujarnya. 

Bagi memeriahkan lagi Minggu EKSA, turut diadakan pertandingan mini EKSA yang terbahagi kepada dua kategori utama iaitu individu dan kumpulan. 

Kesemua pertandingan yang dijalankan diadili oleh juri yang dilantik dan keputusan akan diumumkan pada bulan Ogos 2024. 

Aktiviti amalan hijau bagi kedua-dua kategori menyaksikan sepuluh penyertaan daripada warga zon EKSA PBM yang dipertandingkan pada 25 Julai ketika pameran inovasi.

Disediakan Oleh: Fathiah Izzati Mohamad Fadzillah dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News