Skip to main content

Muhammad Syazwan alumni TVET UMPSA buktikan graduan berkemahiran tinggi mampu bersaing dalam industri

PEKAN, 8 Mei 2026 - Graduan daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus membuktikan keupayaan mereka dalam memenuhi keperluan industri moden melalui penguasaan kemahiran teknikal dan pengalaman praktikal yang tinggi.

Alumni UMPSA bagi sesi 2025/2026, Muhammad Syazwan Rosdi merupakan antara graduan yang berjaya membina kerjaya dalam bidang teknikal selepas menamatkan pengajian dalam program Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UMPSA.

Muhammad Syazwan alumni TVET UMPSA buktikan graduan berkemahiran tinggi mampu bersaing dalam industri

Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu kini berkhidmat sebagai Jurutera Operasi di TVT Tech Solution Sdn. Bhd. Cyberjaya dan bertanggungjawab memastikan sistem serta fasiliti syarikat beroperasi dengan lancar, selamat dan efisien.

Menurut beliau, bidang TVET memberikan pelbagai kelebihan khususnya dari aspek kemahiran praktikal dan kebolehpasaran graduan.

“Graduan TVET lebih mudah mendapat pekerjaan kerana pembelajaran yang berfokus kepada kemahiran hands-on seperti elektrik, mekanikal, automotif dan HVAC.

“Majikan kini lebih mengutamakan individu yang mempunyai kemahiran dan mampu melaksanakan tugas dengan baik, bukan sekadar menguasai teori semata-mata. 

“TVET juga membuka peluang kerjaya yang luas termasuk potensi pendapatan yang baik, tempoh pengajian yang lebih singkat dan peluang untuk menceburi bidang keusahawanan,” ujarnya. 

Beliau turut menyifatkan UMPSA sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi dan hab TVET termaju yang menyediakan kemudahan pembelajaran lengkap serta selari dengan perkembangan teknologi semasa.

“Tenaga pengajar di UMPSA yang terdiri daripada pensyarah dan doktor berpengalaman sentiasa memberikan tunjuk ajar secara komprehensif dan proaktif. 

“Suasana pembelajaran yang kondusif serta kemudahan yang lengkap membantu pelajar memahami bidang teknikal dengan lebih jelas dan cepat,” katanya. 

Muhammad Syazwan alumni TVET UMPSA buktikan graduan berkemahiran tinggi mampu bersaing dalam industri

Sepanjang pengajian di UMPSA, beliau turut memanfaatkan pelbagai pengalaman dan peluang yang diberikan untuk meningkatkan keyakinan diri serta membuktikan bahawa graduan TVET mampu bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan malah antarabangsa.

Tambahnya, tenaga kerja mahir khususnya graduan TVET amat diperlukan negara bagi memenuhi keperluan industri serta menjadi aset penting dalam menghadapi perkembangan teknologi masa depan. 

Beliau turut menyeru generasi muda agar terus menimba ilmu, bersedia mempelajari teknologi baharu dan memilih laluan TVET sebagai platform membina kerjaya stabil, berkemahiran tinggi serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Disediakan Oleh: Hafizatulazlin Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat.

Reports by:
AINIEY