Pahang Hackathon beri pendedahan pelajar sekolah tentang sistem elektronik
Pekan, 15 November – Penganjuran Hackathon dilihat selaras dengan inisiatif pengukuhan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dibangunkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) terhadap pencapaian peratusan penglibatan murid dalam program berunsurkan STEM.
Merealisasikan hasrat ini , Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) menjayakan Pahang Hackathon 2018 yang berlangsung di Makmal STEM, UMP Pekan baru-baru ini.
Seramai 123 orang pelajar yang berumur antara 9 tahun hingga 16 tahun terlibat membabitkan penyertaan sekolah bukan sahaja dari Negeri Pahang malahan sekolah sekitar Kelantan, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Bagi pengarah program, Ir. Dr. Nurul Hazlina Nordin yang juga merangkap Pengarah Jaringan Industri & Masyarakat berkata, program ini diadakan untuk memberi pendedahan mengenai elektronik sistem kepada para pelajar yang mana meliputi pembangunan skill penyelesaian masalah, pendedahan kepada open-source hardware and software seperti Arduino, rekabentuk electronics embedded system serta konsep asas robotik.
“Para pelajar akan dibekalkan dengan satu set kelengkapan peranti elektronik serta satu kod pengaturcaraan asas. Pelajar ini kemudiannya dikehendaki untuk mengubahsuai pengaturcaraan serta peralatan elektronik tersebut (hacking) sebelum bertanding untuk menyelesaikan cabaran pertandingan,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, penubuhan Makmal Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini dilihat mampu menarik minat para pelajar sekolah meminati bidang ini. Penganjuran kali ini mendapat penajaan dari Motorola Solutions Foundation serta Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Hadir merasmikan program, Dekan FKEE, Profesor. Ir. Dr. Kamarul Hawari Ghazali yang turut dihadiri Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Haji Mohd Naharuddin Awang dan Pengurus Jabatan Pembangunan Program, Yayasan Bank Rakyat, Mohd Mukhti Abd Rahman.
Sementara itu, bagi Mohd Syahir Irsyad,15, pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang melihat program ini mampu memberi pendedahan serta pengalaman kepada para pelajar berkenaan dengan asas mencipta robot.
Pertandingan Hackathon terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Track 1: MBlock, Track 2:Arduino dan Track 3:Lego. Melalui pertandingan ini, pelajar perlu membangunkan sebuah robot dan melengkapkan kod pengaturcaraan bagi membolehkan robot dapat beroperasi secara manual dan auto normal. Pertandingan menyaksikan kategori MBlock dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Ahmad, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mahmud Mat memenangi kategori Arduino dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang memenangi kategori Lego.
Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 155 views