Skip to main content

Pasor Online platform jual beli buah-buahan dan sayur segar dari ladang

Kuantan, 15 Mei 2020 - Perubahan gaya hidup masyarakat yang semakin bergantung kepada penggunaan perkhidmatan dan perniagaan di internet memecut perkembangan aktiviti membeli-belah secara atas talian.

Pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini turut memberi satu anjakan terhadap pendigitalan masyarakat dan solusi buat orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan barang basah seperti pembelian sayur-sayuran dan buah-buahan segar secara atas talian terus ke depan pintu rumah mereka.

Pasor Online diperkenalkan pihak UMP Technology Sdn. Bhd. (UMPT) iaitu anak syarikat UMP Holdings Sdn. Bhd. (UMPH) sebagai platform jual beli sayur-sayuran dan buah-buahan segar secara dalam talian (online) yang dilengkapi dengan perkhidmatan penghantaran ke rumah dengan caj penghantaran bermula serendah RM4.00 sahaja sekitar Kuantan.

Menurut Pengurus Besar UMPT, Mohd Nizam Abdul Rashid, pihaknya menyedari keperluan isi rumah dalam mendapatkan perkhidmatan barangan dapur dan barang basah termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Buat permulaan, kami turut menjalankan tinjauan berkenaan trend pembelian barangan keperluan harian untuk mendapatkan gambaran berkenaan trend pembelian barangan keperluan makanan oleh isi rumah dengan tujuan untuk merangka strategi bagi membantu menyediakan perkhidmatan yang bersesuaian.

“Sumber sayuran Pasor Online datangnya hasil kerjasama pintar bersama pembekal sekitar dan hasil sayuran melalui teknik fertigasi di Ladang Fertigasi UMP di UMP Kampus Gambang.

“Pasor Online juga merupakan platform sebagai usaha membantu pekebun kecil memasarkan tanaman mereka akibat terkesan dengan kekurangan pembeli ketika berdepan dengan penularan wabak COVID-19 ketika ini,” katanya. 

Tambahan lagi, ia juga sebagai menyokong usaha amalan gaya hidup sihat dengan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan segar buat seisi keluarga.
 
“Penghantaran dibuat pada setiap  hari Selasa dan Jumaat setiap minggu manakala bagi tempahan sayur dan buah-buahan, tempahan minimum serendah RM20 sahaja bagi satu pesanan. 

“Caj penghantaran bermula dari RM4.00 sehingga RM7.00 sahaja mengikut jarak lokasi bagi setiap penghantaran.
 
“Dengan pembelian secara dalam talian ini juga, orang ramai tidak perlu bersusah payah untuk mencari barangan atau bersesak serta beratur memuat pembayaran malahan ia turut menjimatkan dengan tawaran pakej pembelian barangan keperluan,” katanya. 
 
Jelas beliau lagi, dalam pada itu, ladang fertigasi yang terletak di UMP Kampus Gambang menggunakan teknik pertanian yang memaksimumkan hasil tanaman melalui penggunaan air dan baja yang terkawal. 

“Penanaman boleh dilakukan tanpa tanah subur dan boleh dilakukan di dalam kawasan bandar atau di kawasan dengan tanah yang terhad. 

“Sistem tanpa tanah juga mampu meningkatkan hasil melalui pencegahan penyakit bawaan tanah. 

“Selain tanaman timun dan kacang panjang, sebanyak 16,000 pokok terung berjaya ditanam di ladang ini,” katanya.

Pihaknya berhasrat untuk meluaskan lagi penanaman sayuran secara fertigasi ini agar UMPT mampu menjadi salah satu pembekal sayuran segar terbesar di negeri Pahang.

UMPT turut mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Negeri Pahang sepanjang proses pembangunan projek dan menjalankan kolaborasi bersama pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi tujuan pengkomersialan hasil tanaman. 

Ladang fertigasi yang berkeluasan 3.86 ekar dan terbesar di negeri Pahang ini juga telah mendapat pensijilan Good Agricultural Practice (GAP).

Bagi mereka yang berminat untuk menjalankan aktiviti pertanian secara fertigasi ini sendiri, UMPT turut menawarkan perkhidmatan rundingan dan latihan yang bersesuaian untuk memulakan projek. 

Manakala bagi orang ramai yang memerlukan khidmat tempahan Pasor Online boleh mengunjungi facebook Pasor Online atau menggunakan borang pesanan di https://forms.gle/fQBQpJ98zAuckNvi7.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News