Skip to main content

Pelajar baharu UMPSA diseru jaga reputasi, berani suarakan pandangan

PEKAN, 21 September 2026 – Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias meluangkan masa bertemu dan berinteraksi bersama pelajar baharu sempena Minggu Induksi Siswa (MINDS) 2026/2027 di Dewan Cendekiawan Siswa, UMPSA Kampus Pekan, hari ini.

Sesi Bertemu Naib Canselor itu memberi peluang kepada pelajar baharu untuk berkenalan lebih dekat dengan kepimpinan universiti, selain mendapatkan panduan dan amanat bagi memulakan kehidupan sebagai warga UMPSA.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Penolong Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Pembangunan Pelajar), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Razali Daud. 

Dalam sesi tersebut, Profesor Ts. Dr. Yatimah mengingatkan pelajar supaya sentiasa menjaga nama baik dan reputasi universiti sepanjang menjalani kehidupan sebagai pelajar UMPSA.

“Pelajar-pelajar, jagalah reputasi. 

“Kalau ada perkara-perkara yang mungkin melemahkan, yang perlu penambahbaikan, sila berhubung terus kepada pusat berkenaan,” katanya.

Pelajar baharu UMPSA diseru jaga reputasi, berani suarakan pandangan

Beliau turut menggalakkan pelajar supaya menggunakan saluran yang betul untuk menyampaikan pandangan, cadangan atau perkara yang memerlukan perhatian pihak universiti.

“Jadikan ini satu semangat untuk kita. 

“Kalau ada perkara yang ingin dikongsikan, pilihlah penasihat akademik, pensyarah ataupun barisan pengurusan universiti untuk kita sama-sama membuat penambahbaikan,” katanya.

Sementara itu, seramai 2,618 pelajar baharu telah mendaftar ke UMPSA bagi Sesi Akademik 2026/2027, dengan 1,218 pelajar mendaftar di UMPSA Pekan, manakala selebihnya mendaftar di UMPSA Kampus Paya Besar.

Program MINDS 2026/2027 telah bermula semalam, 20 September 2026 di UMPSA Kampus Paya Besar, dengan pelbagai pengisian bagi memberikan pendedahan awal kepada pelajar baharu mengenai kehidupan dan persekitaran universiti.

Antara pengisian utama ialah sesi MINDS bersama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, yang berlangsung di Kompleks Sukan UMPSA Kampus Paya Besar.
Pada sebelah malam pula, pelajar baharu mengikuti Majlis Puncak Siswa bersama Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, yang turut berlangsung di Kompleks Sukan UMPSA Kampus Paya Besar.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri