Pelajar PhD UMP ungguli Pertandingan 3MT peringkat kebangsaan
KUANTAN, 10 Jun 2021 - Pelajar pascasiswazah Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Mohd Hilmy Naim Mohd Yakin dinobatkan pemenang tempat pertama bagi Pertandingan 3 Minute Thesis (3MT) Peringkat Kebangsaan dalam kategori Teknologi dan Kejuruteraan.
Pertandingan yang julung kalinya diadakan secara maya itu dikelolakan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM).
Pertandingan 3MT merupakan pertandingan akademik yang dikembangkan oleh Universiti Queensland, Australia bagi pelajar pascasiswazah untuk menyampaikan pembentangan lisan dengan cara yang lebih menarik mengenai topik penyelidikan dan kepentingannya dalam masa 3 minit.
Menurut Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, pertandingan ini mampu memupuk kemahiran komunikasi akademik dan pembentangan idea.
“Selain itu, pertandingan ini juga dapat meningkatkan keupayaan mereka untuk menerangkan penyelidikan mereka dengan berkesan dalam masa 3 minit dengan menggunakan bahasa yang sesuai di khalayak ramai yang kebanyakannya bukan dari bidang kepakaran tersebut,” katanya.
Bagi Hilmi, beliau tidak percaya pembentangan visualnya yang berjudul Predicting Crack Initiation and Propagation with Peridynamics berjaya menarik perhatian juri sehingga diumum sebagai pemenang pertama yang melayakkan beliau untuk membawa pulang wang sebanyak RM1,500.
Beliau menjelaskan, sokongan penuh pihak IPS terutamanya dekan sendiri dan sesi latihan yang intensif bersama pelatih yang berpengalaman iaitu Dr. Chiam Kee Swan, Dr. Ashwin Charles Benedict dan Normala Samsudin, benar-benar membantunya dalam memastikan semua penemuan penyelidikannya dapat dibentangkan dengan baik dalam masa 3 minit.
Bersama-sama Hilmy yang mewakili universiti ke pertandingan 3MT Peringkat Kebangsaan ini ialah Intan Syahidah Zulkafa dari Pusat Bahasa Moden (PBM) dan Ling Jin Kiong dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI).
Dalam pada itu, Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah berharap kemenangan ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk turut serta dalam program tersebut dan berkongsi hasil penyelidikan mereka dengan cara yang dapat difahami oleh orang lain.
Disediakan Oleh: Kalpana a/p Ramachandran, Institut Pengajian Siswazah UMP
- 226 views