Pelan Strategik UMPSA 2026–2030 (UMPSA30) bakal pacu kegemilangan universiti terus unggul
PUTRAJAYA, 4 Julai 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) teknikal bertaraf global melalui Pelan Strategik UMPSA 2026–2030 (UMPSA30) yang dirangka dan kini dalam fasa akhir sebelum dilancar pada tahun ini.
Kerangka Pelan Strategik UMPSA 2026–2030 (UMPSA30) telahdibentangkan dalam satu sesi yang menghimpunkan barisan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Pengurusan Tertinggi Universiti, serta anak-anak syarikat UMPSA dalam usaha memperhalusi hala tuju lima tahun UMPSA yang lebih dinamik dan berimpak tinggi bertempat di Hotel Zenith, Putrajaya.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, kerangka yang dibentangkan ini adalah menyeluruh dan strategik dalam memperkukuh UMPSA sebagai universiti teknikal masa depan.
“UMPSA30 dibangunkan dengan pendekatan yang amat sistematik.
“Ia tidak hanya berasaskan kepada kekuatan dalaman universiti, tetapi turut mengangkat Agenda Nasional Pendidikan Tinggi.
“Penyelarasan pelan ini dengan Malaysia Education Blueprint 2025–2035 adalah cerminan keseriusan UMPSA dalam memainkan peranan sebagai institusi rujukan dalam bidang teknikal dan TVET,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, UMPSA30 akan menjadi instrumen penting dalam menstruktur semula agenda pembangunan universiti agar lebih responsif terhadap landskap global dan kehendak industri.
“Pelan ini memberi tumpuan kepada pertumbuhan berfasa, pengukuhan sistem sokongan dalaman serta pemerkasaan ekosistem universiti yang mampan.
“Ia akan dipantau secara berkala dengan mekanisme pelaporan prestasi yang ketat bagi memastikan setiap objektif tercapai,” katanya.
“Kerangka UMPSA30 ini dibangunkan secara inklusif berdasarkan enam kluster utama iaitu Kluster Bakat, Kewangan, Mahasiswa dan Alumni, Ekosistem, Akademik dan Penyelidikan,” katanya.
Malah katanya, pelaksanaan kluster ini turut dipacu oleh tujuh Tujahan Strategik iaitu Pemerkasaan Engineering Technology, Pengantarabangsaan, Penyelidikan Unggul, Kelestarian, Pembangunan Bakat Individu, Advanced TVET Hub dan Keusahawanan.
“Selain itu, UMPSA30 ini juga dijajarkan dengan konsep SPIROS iaitu Kemahiran (Skills), Kesempurnaan (Perfection), Impak (Impact), Daya Tahan (Resilience), Pengoptimuman (Optimization) dan Kelestarian (Sustainability).
UMPSA30 diterajui oleh Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK) sebagai sekretariat utama pelan strategik universiti.
Disediakan Oleh: Saharudin Ramli, Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK)
- 90 views