Pemangku Raja Pahang Lancar Jom Masuk IPT Zon 2 Pahang
Kuantan, 22 Februari - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menyempurnakan program ‘Jom Masuk IPT’ Zon 2 Pahang anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyaksikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai tuan rumah pada kali ini yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Gambang.
Program ini memberi peluang para pelajar sekolah menengah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru dan komuniti setempat merebut peluang menyambung pengajian tinggi di pelbagai institusi pendidikan tinggi negara.
Titah baginda, bakal mahasiswa perlu merebut peluang yang tersedia pada hari ini, untuk memilih kursus pengajian yang bersesuaian dengan minat dan pasaran kerja nanti. Apabila peluang pendidikan tinggi itu berjaya diperolehi kelak, berusahalah bersungguh-sungguh, untuk mencapai kejayaan yang akan membanggakan keluarga.
“Elakkan sindrom 3k iaitu kuliah, kafeteria dan katil. Pencapaian akademik yang cemerlang sahaja, tidak lagi menjadi tiket dan jaminan untuk mendapat pekerjaan pada masa hadapan. Justeru, semua pelajar perlu mencari peluang, meningkatkan kemahiran diri atau soft skills seperti kemahiran kepimpinan, pengucapan awam, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif serta membina keyakinan diri, yang mana ianya amat diperlukan untuk memasuki alam pekerjaan kelak,” titah baginda dalam acara pelancaran Jom Masuk IPT Zon 2 Pahang yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Gambang.
Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, dengan ruang dan peluang yang disediakan para pelajar dan lepasan sekolah yang menjadi kumpulan sasaran utama program ini akan dapat membuat keputusan yang tepat mengenai pilihan IPT serta kursus bersesuaian untuk melanjutkan pengajian dan seterusnya merealisasikan cita-cita kerjaya mereka pada masa hadapan.
Ujarnya, sesuai dengan objektif utamanya sebagai medium penghubung sektor pendidikan tinggi dengan komuniti, program ini menyaksikan penyertaan lebih 100 pempamer dari pelbagai institusi dan agensi penyedia pendidikan tinggi untuk manfaat lebih 25,000 pelajar, lepasan sekolah, guru, ibu bapa dan orang ramai yang disasarkan sebagai pengunjung,” katanya.
Dalam program ini pelajar dan ibu bapa berpeluang bertemu terus dengan wakil-wakil dari universiti dan kolej semasa pameran untuk mendapatkan maklumat melanjutkan pengajian, pembiayaan pendidikan yang sedia ada, dasar dan prosedur permohonan kemasukan melalui aplikasi dalam talian dan syarat-syarat kelayakan yang diperlukan.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA JPT, Wahi Nordin berkata, program Jom Masuk IPT mula dianjurkan pada tahun 2004 dan merupakan signature programme KPM. Pada tahun lalu lebih 199,000 permohonan ke IPTA dan ILKA diterima dengan 138,000 daripadanya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan ILKA bagi pelajar lepasan SPM.
“Tahun ini kita menganjurkan karnival seumpama ini di lapan Zon lagi dan ini merupakan Zon ke 2. Kita jangka akan ada pertambahan lagi dari segi permohonan kerana setiap karnival dianggarkan sekitar 20,000 hingga 25,000 pengunjung akan hadir,” katanya ketika ditemui selepas acara.
Beliau menyarankan agar semua calon dapat melayari ePanduan di laman web upu.moe.gov.my sebelum memohon kursus melalui UPUOnline agar mereka dapat melihat program - program yang ditawarkan oleh 20 universiti awam, kolej matrikulasi, Institut Pendidikan Guru (IPG), politeknik, kolej komuniti dan 4 buah Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Selain pameran pendidikan dan penajaan, turut diadakan pameran dan demonstrasi Sains dan Teknologi termasuklah Lego Mindstorm Robot, Augmented Reality (AI) Educational Book, Social Robot (Facial Emotion Recognition) dan Kit STEM Bot.
Program turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pro Canselor UMP, Tan Sri Dato Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Prof. Dr. Cairul Iqbal Mohd Amin dan Pengerusi Jom Masuk IPT Zon 2, Prof. Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin.
Sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (RTUM), program kali ini turut memberi peluang ibu bapa dan pelajar mengetahui tentang pengajian program teknologi kejuruteraan yang ditawarkan UMP serta bidang berkaitan program pendidikan teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi yang mampu menyediakan peluang pekerjaan dalam pasaran menjelang era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).
Mulai Sesi Akademik 2020/2021, UMP menawarkan enam program diploma dan 36 program sarjana muda termasuk program Ijazah Sarjana Muda Teknologi bagi menyediakan pelajar yang kompeten dan mahir dalam bidang teknikal dan memenuhi keperluan industri.
- 542 views