Seramai 2104 mahasiswa baharu UMP mendaftar
Kuantan, 2 September – Seramai 2104 mahasiswa baharu mendaftar bagi mengikuti 29 program pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda mulai Sesi 2018/2019 pada kali ini yang berlangsung serentak di Kompleks Sukan UMP Gambang dan Pusat Aktiviti Pelajar UMP Pekan hari ini. Terdahulu seramai 36 mahasiswa antarabangsa dari 12 negara termasuk Yaman, Somalia, Egypt, Bangladesh, Syria, Arab Saudi, China, Tanzania, United Kingdom dan India mendaftar bagi mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di universiti ini.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin, UMP menawarkan program di peringkat Ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, sains komputer, pengurusan industri, program sains gunaan dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. UMP juga menawarkan program Dwi- Ijazah bertaraf antarabangsa melibatkan kerjasama dengan pihak institusi pengajian di Jerman, Hochschule Karlsruhe, University of Applied Sciences Jerman (HsKA) dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dengan Kepujian dengan Northern Illinois University (NIU), Amerika Syarikat,” katanya. Hadir sama menyambut ketibaan mahasiswa dan keluarga adalah Pendaftar merangkap Ketua Pegawai Operasi, Abd. Hamid Majid dan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr Muhamad Mat Noor.
"Pada tahun ini tiga program baharu diperkenalkan iaitu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa dan Mesin), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Sistem Komputer) dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Petroleum) di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan. Dalam pada itu, buat pertama kalinya juga UMP memperkenalkan Anugerah Kecemerlangan MyGift yang pada kali ini yang memberi tumpuan terhadap pelajar cemerlang yang dipilih daripada pelajar matrikulasi seluruh negara," katanya yang hadir menyampaikan insentif RM 1000 dan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang.
Turut berlangsung penyampaian Skim Bantuan Insentif Pendidikan bernilai RM 1,000 kepada lima mahasiswa baharu bagi mengurangkan beban kewangan keluarga di hari pendaftaran. Bantuan ini disaring di peringkat Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni bertujuan membolehkan para mahasiswa baharu yang mempunyai masalah kewangan yang mendesak dapatmenyediakan keperluan berkaitan bagi memulakan pengajian di sini.
Ujarnya usaha ini adalah sebahagian daripada Inisiatif MyGift yang diperkenalkan UMP dalam usaha menjadi universiti komuniti dan sebagai satu usaha mengumpul sumbangan daripada mana-mana pihak bagi menyalurkan sumbangan endowmen bagi tujuan tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada mahasiswa mahupun membudayakan semangat membantu golongan yang memerlukan. Selain itu juga, universiti menguruskan pengangkutan dan penginapan buat keluarga yang memerlukan bagi memastikan urusan pendaftaran anak mereka berjalan lancar.
Dalam pada itu, UMP juga menyediakan kaunter rundingan yang melibatkan Jabatan Bendahari, Bahagian Pengurusan Akademik dan Unit Pembiayaan dan Kebajikan Pelajar bagi membantu memberi nasihat dan rundingcara bagi mahasiswa yang mempunyai masalah berkaitan yuran pengajian dan sebagainya. Minggu Induksi Siswa (Minds) berlangsung mulai 2 hingga September melibatkan semua pelajar baharu dan selain taklimat akademik dan pengenalan kepada kehidupan kampus turut diadakan program Majlis Amanat Naib Canselor dan Ikrar Mahasiswa.
- 83 views