Setia berkhidmat 2 dekad, jasa 63 staf UMP dikenang
PAYA BESAR, 16 Februari 2022 – Seramai 63 staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang telah menyumbang jasa lebih dua dekad di universiti ini dirai dalam Majlis Sanjungan Budi bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP tahun ini.
Majlis menyaksikan Profesor Dato’ Ts Dr Yuserrie Zainuddin hadir menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima dalam program anjuran Jabatan Pendaftar yang berlangsung di Dewan Astaka UMP Gambang baru-baru ini.
Menurut Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie, tempoh 20 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat, UMP telah menempuh segala cabaran, bersaing untuk menjadi institusi pendidikan tinggi terbaik dan menjadi pilihan para pemegang taruh.
“Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Ilahi apabila warga UMP dapat sama-sama mengharungi pelbagai halangan dan rintangan selama 20 tahun ini.
“Anda semua merupakan antara penggerak dan peneraju UMP pada ketika itu.
“Kejayaan UMP pada hari ini adalah kejayaan semua pihak,” katanya
Ujarnya, pihak universiti menyanjung tinggi dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga UMP yang telah bersama-sama berganding bahu demi meningkatkan kecemerlangan UMP tercinta ini.
“Malahan sehingga kini, UMP berjaya menggapai cita-cita kecemerlangan, menghasilkan bahan-bahan penyelidikan peringkat tempatan dan antarabangsa serta paling utama melahirkan ribuan graduan yang memenuhi ruang-ruang kerjaya profesional di dalam mahupun luar negara.
“Kecemerlangan graduan ini telah meningkatkan citra UMP sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang terkemuka.
“Pengiktirafan yang telah diterima oleh UMP dalam dua dekad ini membuktikan pada usia sebegini kita sudah mampu terkehadapan dan mendahului dari segenap aspek,” katanya.
Beliau turut berharap agar legasi positif yang dipamerkan oleh sahabat di universiti ini wajar ditekuni agar dijadikan teladan yang baik dalam urusan seharian.
Tambahnya lagi, walaupun negara masih berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19, ia bukan penghalang untuk merealisasikan detik bersejarah Sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP dengan suasana norma baharu.
Menyorot kembali sejarah 16 Februari 2002 yang lalu, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menubuhkan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi yang ke-16 iaitu Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) yang kemudiannya dikenali sebagai Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 1 Februari 2007.
Meniti usia ke-20 tahun penubuhannya, UMP terus komited untuk maju dan menjadi mercu tanda kemajuan serta kecemerlangan ilmu di negeri Pahang Darul Makmur khasnya dan negara Malaysia amnya sebagai salah sebuah universiti dalam jaringan universiti teknikal Malaysia (MTUN).
Bagi staf pasangan suami isteri, Aluwi Mohd Sikah dari Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) dan isterinya, Hazariana Abdul Hamid dari Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK), pelbagai pengalaman pahit manis bersama UMP akan sentiasa terpahat dalam memori mereka berdua dan berbangga melihat pembangunan universiti pada masa ini .
Menurut Aluwi, sebagai ‘orang lama’ yang bersama UMP sepanjang 20 tahun ini, beliau dapat menyaksikan pelbagai perkembangan universiti tahun demi tahun.
“Saya dan isteri ingin mengucapkan terima kasih kepada UMP yang memberi penghargaan sijil dan hadiah wang sebanyak RM1000 sebagai pengiktirafan kepada staf yang telah berkhidmat selama 20 tahun ini,” katanya.
Bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP juga, Yayasan UMP telah melaksanakan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas iaitu UC bagi mengumpul dana dalam membantu kebajikan, penyelidikan dan pembangunan khususnya buat pelajar.
Sebagai sokongan dan tanda terima kasih kepada warga UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut mengumumkan tawaran harga istimewa dan rebat diskaun sehingga 60 peratus akan diberikan khas kepada warga UMP yang berminat memiliki nombor pendaftaran khas UMP.
Bagi yang berminat boleh kunjungi kaunter Yayasan UMP yang akan dibuka pada 23 dan 24 Februari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UMP, Hazmin Aris dan Ketua Pustakawan, Azman Abdul Rahim.
Turut berlangsung pada hari yang bersejarah itu ialah bacaan Yasin dan Doa Selamat anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dan Pejabat Naib Canselor (PNC) yang diadakan serentak di kedua-dua kampus serta dalam talian dengan disertai lebih 200 orang warga kampus.
Manakala penganjuran Siri Transformasi Eksekutif Perdana (STEP) Khas anjuran Bahagian Pembangunan Sumber Manusia Jabatan Pendaftar turut menampilkan Dato’ Dr. Mortaza Mohammad yang merupakan mantan Timbalan Rektor (Akademik dan Antarabangsa) yang pertama dalam menelusuri perjalanan dua dekad KUKTEM/UMP.
Kini beliau merupakan Profesor Adjung di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UMP.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 129 views