Skip to main content

Terokai Dunia Kejuruteraan Bersama UMP  

Pekan, 23 November – Penganjuran UMP Engineering’s Day anjuran kelab pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), iaitu Mechanical Engineering Professional Student Club (MECHAPRO) memberi peluang pelajar sekolah meneroka pelbagai bidang kejuruteraan yang sesuai dengan minat dan prospek kerjaya mereka pada masa akan datang.

Program yang mendapat kerjasama pihak Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) ini melibatkan seramai 40 mahasiswa ini berjaya menarik minat seramai 500 orang pelajar sekolah menengah sekitar Kuantan dan Pekan untuk  menyaksikan pameran yang berkonsepkan pendidikan Sains, Teknologi, Matematik dan Kejuruteraan (STEM) dan mengambil bahagian dalam program TRIUMP (glider), Mini Games dan Engineering for Awesome (Explorace).  

Hadir merasmikan program  Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) FKM, Prof. Madya Ir. Dr. Haji Nik Mohd Zuki yang turut dihadiri Pengarah JJIM, Dr. Nurul Hazlina Noordin dan penasihat program,  Ts. Dr. Siti Haryani Tomadi.

Bagi Profesor Madya Ir. Dr. Haji Nik Mohd Zuki berkata, program ini dilihat mampu memberi impak yang besar kepada para pelajar di samping para pelajar dapat mengumpul pelbagai maklumat yang berkaitan bidang kejuruteraan.

“Perkembangan dunia Sains dan Teknologi pada masa kini dilihat kian pesat dan memerlukan komitmen yang tinggi bagi menghasilkan modal insan yang bermutu selain dapat memfokuskan pembelajaran dalam dunia kejuruteraan secara interaktif dan kreatif,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, melalui aktiviti yang disediakan ini mahasiswa UMP serta pelajar sekolah turut dapat mengaplikasikan kembali pembelajaran mereka dengan menyertai pertandingan yang disediakan. Beliau berharap, penganjuran program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan sebagai suatu bentuk pendedahan kepada para pelajar dalam meneroka bidang kejuruteraan di peringkat universiti.

Sementara itu, menurut pengarah program, Wan Husna Nabilah Meor Jamaludin, program ini merupakan suatu platform sebagai pendedahan kepada pelajar menghadapi cabaran untuk menempuhi  Revolusi Industri 4.0 dan Internet of Think (IOT). Selain itu dapat melahirkan golongan mahasiswa yang berkeyakinan tinggi bagi mendepani cabaran di peringkat glokal mahupun global serta mempromosikan nama universiti dalam kalangan pelajar bagi memilih UMP sebagai destinasi  pendidikan tinggi mereka bagi menyambung pengajian.

 

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim