UMP dan Malakoff anjur Program Teknologi Hijau Sokong Inisiatif STEM@UMP
Kuantan, 3 Ogos – Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Malakoff Corporation Berhad baru-baru ini menganjurkan Program Switching On Green Technology bertemakan ”Menjana Ilmu Untuk Kesejahteraan dan Kelestarian Alam” sebagai menyokong inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dilaksanakan di universiti ini. Program mendapat kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTEK) dan Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM).
Program Switching On Green Technology in merupakan program pemindahan ilmu berkaitan teknologi solar secara asasnya yang sejajar dengan perkembangan STEM dan teknologi hijau masa kini. Sebanyak 30 buah sekolah sekitar negeri Pahang berpeluang meningkatkan pemahaman dalam aspek teknikal berkaitan teknologi solar.
Hadir merasmikan program Naib Presiden Bahagian Projek Khas dan Teknologi Boleh Diperbaharui, Malakoff Corporation Berhad, Hairol Azizi Tajuddin yang turut dihadiri Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Profesor Dr. Jamil Ismail.
Menurut Profesor Dr. Jamil, STEM adalah merupakan suatu perkara penting dalam menghadapi persaingan global terutama berkaitan pembangunan tenaga bolehubah, mewujudkan dan mengekalkan ekonomi yang sihat serta memupuk inovasi dan kecemerlangan. Ianya selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasakan agenda STEM negara di samping mengukuhkan peranan UMP dalam memasyarakatkan teknologi melalui kepakaran akademianya.
”Program-program di bawah inisiatif STEM @UMP merupakan program-program yang dirancang di bawah Lonjakan Strategik 5 Kemampanan Sosio-Ekonomi & Persekitaran – Khidmat Inovasi Komuniti dan pada tahun ini sebanyak 27 projek yang akan dijalankan pada tahun ini,” katanya. Melalui pelancaran inisiatif STEM@UMP ini dilihat memberi kesedaran kepada warga UMP berkenaan STEM dan Teknologi Hijau seterusnya menjadi pemangkin kepada perubahan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui (RE) pada masa depan.
Sementara itu, Hairol Azizi Tajudin berkata, pihaknya menyokong usaha ini dalam memberi pendedahan kepada pelajar mengenai tenaga solar dan teknologi hijau terutamanya RE yang merupakan salah satu inisiatif yang kini sedang dilaksanakan di negara ini. Majlis turut dihadiri Timbalan Dekan Penyelidikan FTEK, Profesor Madya Dr. Andri Kusbiantoro, wakil Setiausaha Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa (Unesco) Malaysia, Roslinda Mat Musa dan Ketua Penolong Pengarah Kanan JPS Malaysia, Haji Shiham Ghafar.
Disediakan oleh Halizan Mohmood dari Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat
- 172 views