Skip to main content

UMP diiktiraf tersenarai subjek terbaik dunia

Pekan, 4 Mac - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai senarai universiti elit dunia apabila subjek universiti ini tersenarai dalam QS World University Rankings by Subjects 2019 yang diumumkan pihak Quacquarelli Symonds (QS) pada 27 Februari lalu melibatkan subjek Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan; Kejuruteraan Kimia; Kejuruteraan dan Teknologi. 

UMP juga merupakan satu-satunya Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang tersenarai dalam subjek Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan dan Teknologi.

Pengumuman ini melonjakkan kedudukan UMP yang telah mencapai kecemerlangan diiktiraf lima bintang dalam semua pencapaian penarafan termasuklah Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA),  Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (SETARA), Penarafan Pengumpulan Data Kementerian Pendidikan (MyMohes) dan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara. 

UMP berada pada kedudukan terbaik 301-350 dalam subjek Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan. Peningkatan ini melibatkan sokongan berterusan daripada pihak majikan serta jumlah sitasi bagi setiap penerbitan di dalam bidang tersebut. 

Lebih membanggakan buat pertama kalinya UMP tersenarai di dalam subjek Kejuruteraan Kimia (251-300) dan bidang Kejuruteraan dan Teknologi (401-450) yang  menunjukkan prestasi membanggakan dalam semua empat indikator termasuk reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi setiap penerbitan dan H- Indeks.  

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim, pencapaian ini menyerlahkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran di UMP yang sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek teknikal dan teknologi. Kedudukan subjek sering digunakan oleh pelajar untuk membuat pilihan dan menilai universiti yang tepat untuk menyambung pengajian di dalam bidang yang diingini.

“Pengurusan UMP amat menghargai khidmat, sumbangan dan komitmen cemerlang kejayaan ini yang tidak mungkin dapat kita capai dan raih tanpa penglibatan para warga kerja kita dari pelbagai Pusat Tanggungjawab yang bertungkus-lumus bekerja keras mengumpul dan menyaring data-data strategik untuk disalurkan ke platform-platform penarafan yang berkenaan,” katanya. Beliau berucap meraikan warga kerja UMP dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Penarafan 5 Bintang QS Stars, MyRA, MyMoheS dan SETARA anjuran Jabatan Hal Ehwal Korporat dan Kualiti di Ancasa Royale Hotel Pekan.

UMP capai kejayaan yang cemerlang lagi membanggakan dalam konteks penarafan tempatan dan antarabangsa bermula dengan kejayaan pencapaian 5 Bintang dalam QS Stars pada 17 Julai 2018. Seterusnya teruja dengan pecapaian di tangga ke-188 QS Asia University Ranking yang pada 24 Oktober dan tempat ke-97 dalam UI Greenmetric World University Ranking pada 19 Disember 2018. Pencapaian 5 Bintang yang berjaya diperoleh dalam MyRA, MyMoheS dan SETARA juga meletakkan UMP sebaris dengan lima Universiti Penyelidikan di Malaysia terutamanya dari aspek penerbitan dan sitasi.

Pencapaian dan kedudukan tersebut meletakkan UMP pada tahap yang begitu mapan dan kompetitif bukan sahaja sebagai Universiti MTUN yang paling terkehadapan, malah secara umumnya juga antara Universiti Awam yang paling dinamik dan pesat berkembang pada hari ini. 

Cabaran kini menurut beliau adalah bagaimana daya saing dan kemapanan tersebut berupaya dilestarikan sebagai satu tanda mutu yang teguh. Justeru, dalam kerangka Misi UMP 2025, pihak pengurusan dan seluruh warga kerja dari semua jabatan mempunyai peranan yang besar untuk terus mengangkat Universiti ini (from good to great) dalam memastikan UMP terus berada di atas landasan strategik yang mapan.

Majlis dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat & Kualiti), Profesor Dato’ Dr. Ishak Ismail, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Profesor Dr. Jamil Ismail.Turut sama dirai para pegawai utama, dekan, pengarah, ketua jabatan dan para penggerak serta penyumbang data. Turut berlangsung acara penyampaian sijil penghargaan dan serahan tanda nama (lanyard) hasil penjenamaan reka bentuk yang baharu sebagai meraikan kecemerlangan UMP bersesuaian dengan imej UMP sebagai sebuah universiti teknologi lima bintang bertaraf dunia.  

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri