UMP kongsi kepakaran bangunkan teknologi atasi masalah banjir
Kuantan, 6 Mac- Masalah banjir yang sering melanda negeri-negeri di Pantai Timur telah menjadi titik tolak kepada inisiatif Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk menangani isu melibatkan masalah banjir yang melanda termasuklah di negeri Pahang. Melalui Pusat Kelastarian Sumber Bumi (ERAS) satu kajian bertajuk “Feasibility Survey For Utilizing Super Well Point (SWP) Method For Soft Ground Improvement and Flood Prevention, Malaysia” dijalankan dengan kerjasama Yamaguchi University dan Asahitechno Co. Ltd Japan serta Japan Development Institute.
Walaupun teknologi SWP ini telah banyak digunakan dalam projek pembinaan di seluruh Jepun yang melibatkan kawasan yang digenangi air seperti pembinaan jambatan dan ‘water gate’ namun ianya berpotensi untuk diaplikasikan kepada masalah banjir yang ada di Malaysia. Tambah menarik kajian ini turut mengenalpasti teknologi efektif yang boleh dibangunkan dalam mengenalpasti isu dan permasalahan membabitkan bidang pembaikan tanah lembut (tanah gambut) yang banyak terdapat di Pahang.
Menurut Pengarah ERAS UMP, Prof. Madya Dr. Muzamir Hasan, projek ini telah berjaya memperoleh geran penyelidikan antarabangsa Japan International Cooperation Agency (JICA) Jepun pada tahun 2018.
“Sebanyak 20 permohonan sahaja yang diluluskan berbanding ribuan permohonan daripada seluruh dunia. Malah lebih membanggakan, UMP adalah satu-satunya permohonan dari Malaysia yang berjaya memperoleh geran tersebut,” katanya yang ditemui semasa penganjuran International Symposium & Technical Demonstration – Newly Developed Groundwater Level Lowering Method, Super Well Point (SWP) di Kuantan baru-baru ini.
Dalam symposium ini peserta berpeluang berkongsi kepakaran hasil dapatan kajian Presiden Asahitechno Co. Ltd, Shigeyoshi Takahashi dan Prof. Emeritus Dr. Masayuki Hyodo dari Yamaguchi University, Japan. Turut melakukan pembentangan adalah Dr. Liew Kian Heng, Pengarah Liew Strategics Sdn Bhd, Singapura. Para peserta juga berpeluang melihat demonstrasi teknikal kaedah SWP dan lawatan ke Makmal Konkrit di UMP Kampus Gambang.
Simposium mendapat sokongan dan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang, Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) Pahang, Yamaguchi University, Japanese Development Institute (JDI) dan Global Lab Engineering Sdn Bhd. Majlis dirasmikan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato' Dr. Mashitah Mohd Yusoff, UMP, Ketua Penasihat Utama JDI, Kazuro Hayata, Presiden Asahi Boring, Koji Takahashi dan Pengarah Eksekutif Global Lab Engineering Sdn Bhd, Ir. Mansor Ibrahim. Program ini telah sertai sekitar 200 orang peserta yang terdiri dari agensi kerajaan, swasta, ahli akademik, perunding, kontraktor, para pelajar dan pemain industri setempat termasuk dari negara Jepun serta Singapura.
Disediakan Mohd Ferdaus Musa dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 96 views