UMP rai 6 Protege berjaya menamatkan Program Felo Perdana
PUTRAJAYA, 29 Mac 2023 - Seramai enam orang protege Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menamatkan program Felo Perdana Protege UMP setelah berkhidmat selama enam bulan kepada pengurusan universiti termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Mereka dirai dalam Majlis Apresiasi Protege UMP bagi Program Felo Perdana UMP yang bakal menamatkan program pada 31 Mac 2023 ini.
Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, protege berjaya didedahkan dengan aspek kepimpinan dalam universiti bukan sahaja dalam operasi seharian malah dalam membentuk pemikiran sebagai pemimpin dalam membuat keputusan di peringkat tertinggi.
“Kemahiran insaniah (soft skills) yang mereka peroleh selama enam bulan ini bukan sahaja di UMP malah didedahkan dalam organisasi korporat termasuk di UMW Holdings dan Perodua bagi melahirkan protege sebenar,” katanya yang mengucapkan tahniah kepada pengurusan universiti yang berjaya menyahut cabaran merealisasikan hasrat Lembaga Pengarah Universiti.
Justeru, dengan kejayaan itu, Program Felo Perdana UMP 2.0 bakal menyusul dengan menawarkan peluang buat alumni menyertai program ini bagi melahirkan lebih ramai protege pada masa depan.
Program Felo Perdana UMP 2.0 bakal mengemas kini dan menambah baik modul seiring dengan perkembangan organisasi yang memerlukan pemimpin berfikiran strategik yang boleh membantu pemimpin organisasi membuat keputusan secara tuntas dan berkesan.
Beliau percaya mereka ini telah diberi peluang sebaiknya, bersikap lebih kompetitif dan lebih bersedia menempuh alam pekerjaan yang lebih mencabar.
Protege ini terdiri daripada Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri yang ditempatkan di Pejabat Naib Canselor (PNC), Muhammad Syamim Mazlan ditempatkan di Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Muhammad Aizat Azed di Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Manakala Muhammad Aminuddin Rosnizan ditempatkan di Jabatan Pendaftar, Nurul Shuhada Haji Mohamed ditempatkan di Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) dan Muhammad Nur Aqmal Nazri di Jabatan Bendahari.
Dalam majlis itu, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman hadir menyampaikan sijil penghargaan kepada protege dalam majlis yang berlangsung di Hotel Zenith, Putrajaya.
Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserrie Zainuddin, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan pengurusan tertinggi UMP.
Program Protege UMP ditawarkan kepada graduan UMP bagi memberi peluang kepada alumninya untuk menimba pengalaman bertugas dan bekerja sebagai Pegawai Ikhtisas kepada Pengurusan UMP selama enam bulan.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 182 views