UMP tawar Kursus Railway Mandarin tingkat kemahiran pelatih ECRL
Pusat Mandarin dan Kebudayaan Cina Universiti Malaysia Pahang (MLCC) menawarkan Kursus Railway Mandarin dalam usaha meningkatkan kecekapan berbahasa Mandarin bagi pelatih Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) East Coast Rail Link (ECRL) yang kini sedang mengikuti program di universiti ini. ECRL merupakan satu projek yang dijalankan kerajaan dalam membina jajaran leretapi elektrik baru yang akan menghubungkan negeri-negeri Pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Lembah Kelang.
Majlis perasmian Kursus Railway Mandarin dirasmikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim di Dewan Astaka UMP baru-baru ini yag dihadiri Pengarah MLCC, Yong Ying Mei dan Pengarah Rail Industrial Academy (RIA), Dr Fadzil Mat Yahaya.
Menurut Prof Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, silibus dan buku Railway Mandarin ini telah dibangunkan oleh guru-guru bahasa Mandarin di UMP. Pembelajaran Railway Mandarin ini sebagai persiapan dan menimba pengetahuan teknikal rel dalam bahasa Mandarin.
“Glosari mengenai teknikal rel diperkenalkan dalam kursus Railway Mandarin ini bagi meningkatkan kefahaman pelatih-pelatih yang bakal bekerja bersama rakan sekerja dari China di bawah projek ECRL,” katanya.
Ujar beliau, pembelajaran bahasa Mandarin merupakan satu keperluan dalam membantu meningkatkan kemahiran pelatih PLKI untuk berkomunikasi dengan rakan sekerja lain dari China.
Sementara itu, Yong berkata, kursus ini dijalankan sebanyak 36 jam iaitu 4 jam seminggu selama 9 minggu. Sebanyak 4 kelas Railway Mandarin telah ditawarkan kepada 133 orang pelatih PLKI di UMP kampus Gambang dan Pekan mulai bulan Februari. Manakala satu kelas Railway Mandarin telah ditawarkan kepada 28 orang pelatih PLKI pada bulan Januari di UMP kampus Gambang.
Bagi pelatih, Mohamad Johan Faqar Mohd Zain berpendapat, kursus ini telah meningkatkan keyakinan menguasai bahasa Mandarin sama ada untuk berkomunikasi ataupun mendalami pengetahuan tentang topik yang dipelajari.
Begitu juga dengan Adibah Alya Shahari berkata, pelatih PLKI ECRL dapat menimba pengetahuan teknikal rel dalam bahasa Mandarin memandangkan mereka langsung tiada asas dalam mempelajari bahasa Mandarin. Secara tidak langsung ianya dapat dimanfaatkan pelatih bagi menguasai bahasa Mandarin dan sebagai kemudahan untuk berinteraksi dengan pekerja lain dari China.
Program turut dihadiri Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, Dr Mohamad Idris Ali, Dekan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Profesor Madya Dr Muhammad Nubli Abdul Wahab, Pengurus Sumber Kemanusiaan CCCC, Lee Seng Tian dan Timbalan Pengarah RIA, Dr Doh Shu Ing. Hadir sama guru bahasa Mandarin seperti Hooi Yan Yee, Tan Wai Chung, Kang Mei Feng, Cai Haixia, Deng Xingmei, Jin Yongxin dan Wang Xuemei.
Kerjasama UMP dan Malaysia Rail Link (MRL) serta Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) dijangka meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan dalam industri kereta api di negara ini. Program Latihan Kemahiran Industri bagi ECRL bakal menyediakan serta meningkatkan kemahiran graduan tempatan untuk diambil bekerja oleh kontraktor ECRL dan industri keretapi berteknologi ini.
Disediakan oleh Cik Yong Ying Mei dari Pusat Mandarin dan Kebudayaan Cina dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat.
- 112 views