UMP Team Excellent Take Charge
KUALA LUMPUR - Penganjuran Program UMP Team Excellence berkonsepkan kerja berpasukan dilihat mampu meningkatkan kecekapan warga kerja dalam kalangan staf di jabatan. Program pada kali ini yang mensasarkan staf Jabatan Pendaftar ini dianjurkan Bahagian Sumber Manusia Jabatan Pendaftar di Hotel Impiana KLCC Kuala Lumpur dengan dikendalikan pihak LHI Consulting Sdn Bhd.
Menurut Ketua Pegawai Operasi, Abd. Hamid Majid, pembentukan pasukan yang cemerlang menjadi fokus utama universiti dalam mendepani cabaran hala tuju dan matlamat organisasi dengan tuntutan pendidikan tinggi masa kini. Program ini telah dirangka dengan meletakkan asas nilai teras UMP sebagai tunjang kepada pembentukan nilai individu dan pasukan.
"Pelaksanaan program ini juga mendapat kerjasama dengan konsultan yang dilantik bagi memastikan modul yang disampaikan bersesuaian dan mencapai objektif penganjuran, " katanya yang hadir dalam majlis penutup program.
Tema “Take Charge’’ menjadi tagline program ini yang mana universiti ingin menerapkan nilai intergriti dan kebertanggungjawaban terhadap sesuatu tugas dan melaksanakan perkara tersebut dengan sempurna dan berkesan. Tema yang digunakan ini menuntut setiap individu memahami kepentingan dalam penyampaian dan penyelesaian tugas yang diamanahkan. Oleh itu, pemilihan tema ini juga bertepatan dengan empat elemen utama kompetensi yang telah dipilih iaitu accountability, integrity, teamwork dan innovative.
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan termasuklah explorace yang diadakan di sekitar kawasan Kuala Lumpur dengan menggunakan pengangkutan awam. Para peserta telah dibahagikan kepada 16 kumpulan kecil yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan jawatan. Aktiviti explorace ini bermula dari KL Sentral dan bergerak ke stesen-stesen menggunakan pengangkutan awam mengikut arahan yang diberikan dalam tempoh yang ditentukan.
Bagi Ketua Perunding LHI Consulting Sdn Bhd, Umar Abdul Aziz, mengatakan bahawa program yang dilaksanakan ini tepat pada masanya memandangkan program teambuilding ini menerapkan elemen penting kompetensi semasa program ini dijalankan.
"Elemen kompetensi ini sangat berkait rapat dalam pengurusan kerja di pejabat. Kami membantu peserta dengan memimpin mereka memahami kepentingan pelan strategik universiti, mengharmonikan staf Jabatan Pendaftar yang terdiri daripada pelbagai skim dan gred yang berbeza dan mencetuskan pemikiran inovatif dalam membantu mereka melaksnakan tugas mereka dengan lebih berkesan," katanya.
Lebih bermakna para peserta dikehendaki untuk mendaftar kehadiran bagi setiap slot menggunakan sistem QR Code yang baharu diperkenalkan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia. Dengan menggunakan sistem ini status kehadiran dilihat lebih tersusun dan bersistematik.
Berita disediakan oleh Nurull Syamimi Ahmad Abzan dari Jabatan Pendaftar dan disunting Bahagian Komunikasi Korporat.
- 78 views