UMP terima lawatan penanda aras UiTM Terengganu Kampus Bukit Besi
PAYA BESAR, 4 Julai 2023 - Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menerima lawatan penanda aras berkenaan pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work-Based Learning) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Terengganu Kampus Bukit Besi bagi Program Diploma Kejuruteraan Kimia.
Lawatan setengah hari yang melibatkan 13 orang ahli delegasi dari UiTM itu diketuai oleh Timbalan Rektor Akademik, Profesor Madya Ts. Dr. Sarifah Fauziah Syed Draman, Koordinator PKK dan staf daripada kedua-dua program.
Turut hadir Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar (FTKKP), Dr. Rozaimi Abu Samah, Timbalan, Ketua Program, Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas (BVF), Ts. Dr. Sa'aadah Sulaiman, staf program, dan jurutera pengajar.
Agenda utama lawatan itu adalah bertujuan untuk mendapatkan nasihat dan rujukan bagi pelaksanaan program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL).
Taklimat kepada para delegasi telah diberikan oleh Dr. Rozaimi Abu Samah khususnya yang berkaitan dengan pengenalan kepada program-program yang terdapat di FTKKP dan diikuti dengan pembentangan berkenaan program BVF dan pelaksanaan WBL oleh Ts. Dr. Sa'aadah yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, UMP Kampus Gambang.
Selain itu, beberapa perkara lain turut dibincangkan dan dikongsi bersama, antaranya berkenaan cabaran untuk mendapatkan tempat pelaksanaan WBL, kerjasama industri dan implikasi kewangan.
Pada masa yang sama, para delegasi UiTM juga dibawa melawat ke makmal FTKKP dan fasiliti pembelajaran bagi program BVF.
Disediakan oleh: Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP)
- 123 views