UMPSA berjaya kumpul 7.8 juta Endowmen Tuanku Canselor
SELANGOR, 16 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Yayasan UMPSA berjaya mengumpulkan dana Endowmen Tuanku Canselor bernilai lebih RM7.8 juta melalui sumbangan strategik pihak industri, komuniti dan alumni bersempena penganjuran Kejohanan Golf Fillah Tuanku Canselor UMPSA, sebuah inisiatif berprestij yang menghimpunkan komuniti korporat, agensi kerajaan, industri, alumni dan pencinta sukan golf dalam usaha memperkukuh hubungan strategik serta memperluaskan jaringan kerjasama universiti bersama pelbagai pihak bagi menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan serta kebajikan demi kecemerlangan universiti secara holistik.
Kejohanan yang julung kali diadakan UMPSA dan Yayasan UMPSA ini bukan sahaja menjadi platform sukan dan pertandingan, malah berfungsi sebagai medan mengeratkan hubungan dengan industri yang menjadi sebagai agenda utama UMPSA dalam memperkasa ekosistem pendidikan tinggi yang berteraskan inovasi, penyelidikan, pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan.
Majlis menyaksikan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan Kejohanan Golf Fillah Tuanku Canselor yang berlangsung di Kelab Sungai Long Golf & Country Club.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.
Menurut Dato' Seri Abdul Razak, kejohanan ini dijangka menjadi acara tahunan berprestij yang mampu menghubungkan alumni, sektor korporat, industri, institusi pendidikan dan komuniti melalui sukan golf.
“Endowmen Tuanku Canselor di bawah Yayasan UMPSA ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada kebajikan mahasiswa, malah menyokong pembangunan pendidikan, penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat serta kemudahan universiti bagi memastikan UMPSA terus berdaya saing,” katanya.
Dalam masa yang sama, dana terkini Endowmen Tuanku Canselor sejak pelancarannya pada September tahun lalu telah mencecah RM12.9 juta, sekali gus memperkukuh usaha universiti dalam menyediakan sumber pembiayaan yang lebih mampan bagi menyokong pelbagai inisiatif strategik pada masa hadapan.

Malahan pada tahun lalu, Yayasan UMPSA melalui 12 tabung di bawahnya telah mengagihkan sumbangan berjumlah RM3.5 juta manakala jumlah keseluruhan agihan sumbangan sejak tahun 2016 hingga2025 telah mencecah RM26.5 juta, mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam menyokong kebajikan mahasiswa, pendidikan dan pembangunan komuniti.
Manakala program bantuan zakat, pembangunan dan kebajikan pelajar kepada anak anak pelajar UMPSA terutama di Pahang, sebanyak RM2.2 juta telah diagihkan pada tahun 2025 kepada lebih 2,500 orang pelajar.
Ujar beliau, sebagai manifestasi komitmen terhadap kebajikan mahasiswa, universiti akan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membantu pelajar yang memerlukan, khususnya pelajar baharu yang menghadapi kekangan kewangan ketika memulakan pengajian.
Selain memberi tumpuan kepada kebajikan mahasiswa, UMPSA turut memperluas impak kepada masyarakat melalui pelaksanaan pelbagai program komuniti.
Antaranya Kembara Lestari merangkumi 14 Kembara telah dilaksanakan dengan menyantuni lebih 13,000 orang komuniti di 37 buah kampus.
Pada majlis yang sama, Tuanku Canselor turut berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang kejohanan dan melancarkan logo Sambutan Jubli Perak UMPSA.
Menjelang Sambutan Ulang Tahun UMPSA ke-25 pada tahun 2027, universiti terus memperkukuh peranannya sebagai sebuah universiti teknikal terunggul dengan hubungan erat bersama industri.
Kerjasama yang terjalin ini telah membuka pelbagai peluang kepada mahasiswa menerusi latihan industri, Work-Based Learning (WBL), penyelidikan kolaboratif, pemindahan teknologi, pembangunan kurikulum serta peluang kerjaya.
Hubungan erat ini merupakan pemangkin utama dalam usaha UMPSA melahirkan graduan berkualiti, berkemahiran tinggi dan bersedia memenuhi keperluan masa hadapan, selaras dengan aspirasi universiti untuk muncul sebagai hab TVET termaju di rantau Asia Pasifik menjelang tahun 2030.
Endowmen ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada kebajikan mahasiswa, malah menyokong pembangunan pendidikan, penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat serta kemudahan universiti bagi memastikan UMPSA terus berdaya saing.
Dalam masa yang sama, penganjuran Kejohanan Golf Fillah Tuanku Canselor UMPSA memberi impak positif kepada usaha Yayasan UMPSA bagi menyokong pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan pelajar termasuk penyediaan biasiswa, bantuan kewangan, pembangunan sahsiah serta program kecemerlangan akademik.
Kejohanan ini sekali gus mengukuhkan lagi peranan UMPSA sebagai universiti teknologi yang sentiasa menjalin hubungan rapat dengan industri dan komuniti selaras dengan hasrat universiti sebagai hab TVET Termaju Asia Pasifik menjelang 2030.
Selain itu, hubungan erat yang terjalin bersama rakan-rakan industri menjadi pemangkin kepada kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti WBL, latihan industri, penyelidikan kolaboratif, penempatan pekerjaan, pembangunan kurikulum dan pemindahan teknologi.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar, Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Tok Puan Indera Datin Nur Sharmila Shaheen; Pro Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asaari Mohamed Nor; dan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)
- 75 views
Reports by: