UMPSA catat angka tertinggi, 891 pelajar baharu daftar pengajian diploma
PEKAN, 19 Julai 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) cipta sejarah baharu apabila catat angka tertinggi iaitu seramai 891 pelajar baharu mendaftar serentak di kedua-dua kampus Pekan dan Gambang bagi sesi kemasukan Diploma 2025/2026.
Pendaftaran menyaksikan seramai 449 orang pelajar mendaftar di Pekan dan 434 orang pelajar di kampus Gambang.
Pelajar melanjutkan pengajian dalam lapan program diploma yang ditawarkan iaitu program Diploma Kejuruteraan Kimia (DRK), Diploma Sains Komputer (DRC), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (DRM), Diploma Kejuruteraan Awam (DRA), Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (DRP), Diploma Sains Industri (DRS), Diploma Kejuruteraan Elektrik (DRE) dan Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DRO).
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, proses pendaftaran yang bermula seawal jam 8.30 pagi berjalan lancar apabila sesi pendaftaran berjalan dalam dua minit sahaja dan mendapat maklum balas yang baik daripada semua pelajar dan ibu bapa.
“Selamat datang dan tahniah kepada pelajar baharu yang memilih UMPSA sebagai destinasi pendidikan tinggi bagi sesi akademik kali ini.
“Saya mengharapkan para pelajar yang terpilih melanjutkan pelajaran di UMPSA akan menjalankan tanggungjawab sehabis baik dengan penuh semangat dan berdedikasi,” ujarnya.
Pada kali ini juga, UMPSA terus menzahirkan peranan sebagai universiti teknologi terunggul dengan membuka ruang kepada lebih ramai anak bangsa untuk melakar masa depan termasuklah pelajar dari pusat tahfiz.
Dalam pada itu, cakna terhadap nasib pelajar daripada golongan berkeperluan, universiti mengadakan 30 Program Ziarah Prihatin yang merupakan antara inisiatif Skuad Prihatin UMPSA dengan kerjasama Yayasan UMPSA yang digerakkan bagi menyantuni pelajar baharu daripada golongan B40, sekali gus memberikan sokongan moral dan keperluan asas bagi memulakan kehidupan di kampus.
Tambah beliau, ini termasuklah mengambil dan membawa tiga keluarga pelajar daripada Jasin, Tangkak dan Shah Alam menaiki kenderaan universiti untuk mendaftar di universiti.
“Bagi pihak universiti, program seperti ini mencerminkan semangat rahmah dan cakna terhadap kebajikan pelajar, selari dengan hasrat UMPSA sebagai universiti teknologi yang prihatin serta inklusif,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman turut hadir bertemu pelajar dan ibu bapa di kedua-dua buah kampus.
Beliau turut berpeluang bertemu kumpulan sulung perintis pelajar yang berjaya dipilih ke UMPSA menerusi laluan khas Tahfiz TVET hasil kerjasama strategik bersama Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP).

Ujarnya, program ini bagi memperkasa peluang pendidikan tinggi untuk pelajar lepasan tahfiz di negeri Pahang.
“Setakat ini, tiga orang pelajar berjaya melanjutkan pengajian diploma yang ditawarkan di UMPSA,” ujarnya.
Para pelajar ini akan mengikuti pengajian dalam bidang Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Diploma Sains Industri.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 84 views
Reports by: