Skip to main content

UMPSA dan SK RTP Bukit Goh anjur Eco Explorers Carnival

KUANTAN, 25 November 2025 – Seramai 1019 murid Sekolah Kebangsaan RTP Bukit Goh telah menyertai Eco Exploreres Carnival 2025 bersama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah bagi memperkukuh minat dan pemahaman murid terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta mengaplikasikan elemen kelestarian melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Program itu telah dirasmikan oleh Pengarah, Pusat Pembangunan Kelestarian  (SDC) UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain. 

Penganjuran program pada tahun ini turut mendapat kerjasama signifikan daripada SWCorp dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang serta sokongan pelaksana daripada Kelab Pelajar Eco Nexus UMPSA. 

Menurut Dr. Suhaidah, penganjuran program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan sekolah sebagai hab komuniti berasaskan STEM lestari, selain memperkukuh kerjasama jangka panjang antara sekolah, universiti, industri dan agensi luar dalam memartabatkan pendidikan masa depan. 

“Tahniah diucapkan kepada SWCorp, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Kelab Eco Nexus, barisan pensyarah UMPSA yang terlibat, barisan pentadbir, guru-guru SK RTP Bukit Goh, fasilitator serta semua peserta atas komitmen dalam menjayakan program berimpak positif ini,” katanya. 

Pelbagai pengisian menarik yang berfokus kepada penerokaan STEM, kelestarian dan inovasi, termasuk Pameran EcoSTEM, perkongsian berkaitan tenaga boleh diperbaharui, Bengkel DIY EcoSoap (sabun minyak masak terpakai), program Pokok Angkat, serta pertandingan Greenhouse Innovation Challenge dan Sustainable Poster Competition turut diadakan. 

Aktiviti-aktiviti ini membuka ruang kepada murid untuk mengasah kemahiran penyelidikan, kreativiti, penyelesaian masalah serta meningkatkan kesedaran terhadap teknologi hijau dan amalan lestari.

Turut hadir, Guru Besar SK RTP Bukit Goh, Siti Sara Mohamed Hamdan, Penolong Pengarah, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang, Ashraff Kaharudin, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Iqtie Qanar Laila Mohd Ghani, Penolong Pengarah Kanan Silvikultur Zon Timur, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Mohd Saman Mohd Sanget dan Pengarah Program Eco Explorers Carnival STEM,  Mohd Firdaus Md Yazid. 

Guru Besar SK RTP Bukit Goh, Siti Sara Mohamed Hamdan mengucapkan terima kasih kepada Pusat Pembangunan kelestarian UMPSA yang berkerjasama untuk menganjurkan program yang begitu bermakna ini. 

Beliau berharap menerusi program ini, dapat menyemai minat, memupuk bakat dan memperkasa generasi muda untuk menjadi pemikir kritis, inovatif serta bertanggungjawab dalam membina masa depan yang mampan pada STEM.  

Program ini telah dikendalikan seramai 15 staf dan 28 sukarelawan daripada Kelab pelajar Eco Nexus UMPSA.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri