Skip to main content

UMPSA gabungkan teknologi dan perniagaan, lahirkan pengurus industri masa depan

PEKAN, 5 Ogos 2026 – Dalam era kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi digital yang berkembang pesat, industri bukan lagi hanya memerlukan tenaga kerja yang mahir dari aspek teknikal, malah pemimpin yang memahami teknologi, mampu membuat keputusan strategik dan mengurus organisasi secara mampan.

Menyedari keperluan itu, Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tampil menerajui pendekatan pendidikan yang mengintegrasikan bidang pengurusan, teknologi dan industri bagi melahirkan graduan berdaya saing yang memenuhi keperluan ekonomi masa depan.

Dekan FPI, Dr. Mohd Hanafiah Ahmad berkata, penubuhan fakulti itu bertitik tolak daripada keperluan negara untuk melahirkan graduan teknikal yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang kejuruteraan, malah memiliki kemahiran mengurus organisasi, tenaga kerja, kewangan dan strategi perniagaan.

"Apabila seseorang jurutera meningkat ke peringkat pengurusan, mereka bukan lagi hanya mengurus mesin atau teknologi, sebaliknya perlu membuat keputusan melibatkan sumber manusia, kewangan, operasi dan perancangan strategik. 

“Di sinilah kepentingan pengurusan industri," ujarnya ketika menjadi tetamu podcast UMPSA 360 terbitan Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UMPSA yang dikendalikan oleh Pengarah PKK, Mimi Rabita Abd Wahit. 

Tambah beliau lagi, sejajar dengan perubahan landskap industri, FPI kini menawarkan pelbagai program yang memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital, antaranya Pengurusan Projek, Pengurusan Teknologi Industri, Business Engineering, Business Analytics dan Financial Technology (FinTech).

“Program FinTech yang ditawarkan UMPSA merupakan antara yang terawal dalam kalangan universiti awam (UA) di Malaysia, manakala program Business Analytics pula menerima pengiktirafan daripada Institute of Analytics (IoA), United Kingdom, sekali gus menjadi program prasiswazah pertama di negara ini memperoleh pengiktirafan berprestij tersebut.

“Kekuatan FPI turut terserlah melalui hubungan erat dengan industri yang diterjemahkan dalam pembangunan kurikulum, pengiktirafan profesional, pengajaran bersama pakar industri serta kandungan pembelajaran yang sentiasa disesuaikan dengan perkembangan semasa.

"Industri hari ini berubah terlalu pantas,” katanya. 

Justeru ujarnya, universiti dan industri perlu bergerak bersama bagi memastikan graduan yang dilahirkan benar-benar memenuhi kehendak pasaran pekerjaan. 

“Ggraduan FPI bukan sahaja berjaya membina kerjaya dalam sektor pengurusan, malah sebahagian daripada mereka turut berkhidmat dalam bidang kejuruteraan hasil gabungan kemahiran teknikal dan pengurusan yang dimiliki. 

“Selain itu, fakulti turut menawarkan program ijazah dual bersama universiti di Jerman yang membuka peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran bertaraf antarabangsa.

“Dalam aspek penyelidikan dan khidmat kepakaran, FPI turut menyumbang kepada pembangunan negara melalui pelbagai kajian strategik bersama kerajaan negeri dan industri,” jelasnya. 

Antara penyelidikan berimpak tinggi yang pernah dilaksanakan ialah kajian berkaitan pengurusan hasil negeri Pahang serta kajian impak sosioekonomi operasi Lynas terhadap komuniti setempat yang menjadi rujukan dalam proses membuat keputusan kerajaan negeri.

Beliau berkata, Graduate Engineering and Technological Business School (GET-BS) di bawah FPI terus memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan pengajian pascasiswazah yang memfokuskan kepada pembangunan pemimpin dan penyelidik dalam bidang perniagaan berteraskan inovasi lestari.

“GET-BS berfungsi sebagai pusat yang menyelaras semua aktiviti akademik dan penyelidikan di peringkat pascasiswazah FPI, merangkumi program Master of Business Administration (MBA), Master of Project Management (MPM), program Sarjana secara Penyelidikan serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“DNA utama GET-BS adalah berteraskan konsep Sustainable Innovation Business iaitu pendekatan yang menggabungkan inovasi, teknologi dan kelestarian dalam membentuk pemimpin industri masa hadapan.

"Pendekatan ini adalah bagi memastikan setiap penyelidikan dan amalan perniagaan bukan sahaja berdaya saing, malah memenuhi prinsip kelestarian dengan mengambil kira elemen Environmental, Social and Governance (ESG) serta Sustainable Development Goals (SDG)," jelasnya.

Dalam usaha memperluas penawaran akademik, GET-BS kini sedang membangunkan beberapa program sarjana secara kerja kursus yang menggabungkan elemen pengurusan dan teknologi bagi memenuhi keperluan industri masa depan.

Antara bidang yang sedang dirancang termasuk teknologi dalam logistik dan pengurusan rantaian bekalan (Supply Chain Management), sejajar dengan perkembangan pesat sektor logistik serta keperluan pembangunan ekonomi di Pantai Timur.

Inisiatif tersebut dijangka memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai institusi yang menawarkan pendidikan pengurusan berteraskan teknologi, sekali gus melahirkan graduan yang memiliki kompetensi kepimpinan, pemikiran strategik dan keupayaan mengurus organisasi secara lestari dalam era transformasi digital.

Katanya lagi, fakulti juga turut aktif melaksanakan program pembangunan masyarakat dan pembelajaran berasaskan komuniti yang menerapkan nilai kemanusiaan, kepimpinan serta kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar, selaras dengan aspirasi melahirkan graduan holistik.

Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata FPI sedang membangunkan beberapa program baharu di peringkat sarjana yang memberi fokus kepada teknologi logistik dan rantaian bekalan bagi menyokong pembangunan ekonomi Pantai Timur serta agenda strategik negeri Pahang termasuk sektor aeroangkasa dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Beliau yakin gabungan kepakaran dalam bidang pengurusan dan teknologi akan terus menjadi kelebihan kompetitif graduan UMPSA dalam mendepani cabaran industri masa hadapan.

"Graduan masa depan perlu menguasai kedua-dua elemen, iaitu teknologi dan perniagaan. 

“Dengan gabungan itu, mereka bukan sahaja mampu memperoleh pekerjaan, malah berupaya memimpin organisasi dan mencipta nilai kepada industri serta negara," katanya.

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri