UMPSA perkasa inovasi pelajar melalui Eco-Campus Greenovation Hackathon Pitching
Gambang, 6 November 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menganjurkan Eco-Campus Greenovation Hackathon Pitching, sebuah pertandingan berteraskan inovasi dan kelestarian yang bertujuan memperkasa kreativiti serta pemikiran penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar ke arah pembangunan kampus lestari.
Pertandingan ini merupakan anjuran Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC), UMPSA dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA sebagai usaha untuk mencari dan menghimpunkan idea-idea baharu daripada pelajar bagi menyokong pelaksanaan inisiatif Green Flag Eco-Campus UMPSA.
Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu telah diadakan di Dewan Bankuet Canselori, Kampus UMPSA Gambang bersempena Ekspo Konvokesyen ke-20 UMPSA.
Ia menghimpunkan penyertaan pasukan pelajar daripada pelbagai fakulti bagi membentangkan idea inovatif yang memfokuskan kepada penyelesaian cabaran alam sekitar melalui aplikasi teknologi, kejuruteraan dan reka bentuk mampan.
Menurut Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) UMPSA, Dr. Noor Intan Shafinas Muhammad yang merangkap Ketua Kluster Education, Kelestarian UMPSA, inisiatif ini menekankan pendekatan bottom-up, iaitu idea dan penyelesaian kelestarian dicetuskan oleh pelajar sendiri sebagai pemegang taruh utama ekosistem kampus.
“Eco-Campus Greenovation Hackathon Pitching berperanan sebagai platform untuk pelajar menterjemahkan pengetahuan akademik kepada penyelesaian praktikal yang sejajar dengan agenda Eco-Campus UMPSA, konsep ekonomi kitaran serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
“Setiap pasukan dinilai oleh panel juri berdasarkan aspek inovasi, kebolehlaksanaan, impak kelestarian dan kualiti pembentangan,” ujarnya.
Selepas sesi pembentangan yang kompetitif, tempat pertama telah dimenangi oleh BioSmart Bin: IoT Recycling and Reward System, sistem tong kitar semula pintar berasaskan Internet of Things (IoT) yang menggalakkan amalan pengasingan dan kitar semula sisa melalui mekanisme ganjaran bagi meningkatkan penglibatan warga kampus dalam pengurusan sisa mampan.
Tempat kedua dimenangi oleh EcoNova: Turning Campus Waste into Green Value, sebuah inisiatif yang memfokuskan kepada pengkomposan sisa makanan kampus bagi menghasilkan nilai hijau, sekali gus menyokong pengurangan sisa ke tapak pelupusan dan amalan ekonomi kitaran.
Tempat ketiga pula diraih oleh Amphitheater Eco Sink, sistem sinki mesra alam yang direka khas untuk ruang awam berkapasiti tinggi bagi menyokong penjimatan air dan kelestarian infrastruktur kampus.
Selain itu, Anugerah Sagu Hati turut diberikan kepada Biowaste Converter, BottleCycle UMPSA dan GreenStride: The Walk-to-Watt Campus Initiative atas potensi tinggi projek-projek tersebut dalam menyokong inisiatif kelestarian kampus.
Penganjuran pertandingan ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh budaya inovasi berasaskan kelestarian serta melahirkan graduan yang berfikiran kritikal, bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan berkeupayaan menyumbang idea berimpak tinggi kepada pembangunan kampus mampan.
Disediakan Oleh: Dr. Noor Intan Shafinas Muhammad, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam
- 8 views
Reports by: