Skip to main content

UMPSA perkasa Warisan Wau Pungguk Pahang menerusi pemindahan ilmu

PEKAN, 19 September 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) memperkukuh usaha pemuliharaan warisan budaya tempatan menerusi Bengkel Pemuliharaan dan Pemindahan Ilmu ‘Wau Pungguk’ sebagai Warisan Budaya Pahang yang berlangsung di Kampung Tanjong Gosong, Pekan, Pahang.

Bengkel yang dilaksanakan menerusi Projek CDU250153 di bawah Geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti (CDU) itu memberi tumpuan kepada pemindahan pengetahuan dan kemahiran berkaitan sejarah, reka bentuk, pembuatan, hiasan serta penerbangan Wau Pungguk kepada komuniti.

Projek berkenaan menerima peruntukan sebanyak RM20,000 dan dirangka sebagai platform pembelajaran secara bersemuka dan amali supaya pengetahuan berkaitan Wau Pungguk dapat dipelajari, dipraktikkan, didokumentasikan dan disebarluaskan kepada komuniti sasaran. 

Bengkel yang berlangsung selama sehari itu menghimpunkan lebih 40 peserta, termasuk komuniti setempat, ahli Persatuan Wau dan Layang-layang Pahang serta individu yang berminat terhadap seni pembuatan wau. 

Menurut Ketua Projek yang juga Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) UMPSA, Mohd Azam Muhamad Akhir, penganjuran bengkel tersebut bukan sekadar memberi pendedahan teori, sebaliknya menyediakan ruang pembelajaran secara amali bersama penggiat wau yang mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan.

“Walaupun fokus pengajian utama di UMPSA berteraskan kejuruteraan dan teknologi, pihak universiti tidak pernah mengabaikan keutamaan dalam memelihara nilai-nilai warisan dan kebudayaan. 

“Menerusi inisiatif ini, geran universiti dapat dipulangkan semula kepada masyarakat untuk memastikan seni warisan tempatan seperti Wau Pungguk tidak luput dek zaman.

“Wau Pungguk merupakan salah satu jenis wau tradisional yang berasal dari Pekan, Pahang, dengan reka bentuk yang diinspirasikan daripada burung pungguk yang berperanan mengawal tanaman padi daripada haiwan perosak.  
“Reka bentuk bahagian kepala, sayap dan ekornya turut mempunyai fungsi tertentu bagi membantu kestabilan wau ketika diterbangkan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Bengkel turut mendapat penglibatan penggiat wau tempatan, antaranya Zulkefli Hussin dan Mohd Redzuan Abd Rahman. 

Bahan pameran program merekodkan pengalaman Zulkefli dalam Persatuan Wau dan Layang-layang Negeri Pahang serta penglibatan beliau dalam usaha memartabatkan Wau Pungguk sebagai warisan Negeri Pahang. 
Mohd Redzuan pula merupakan pembuat dan pemain Wau Pungguk dari Kampung Mengkasar, Pekan yang mula mempelajari pembuatan wau ketika berusia 13 tahun daripada arwah ayah dan abangnya. 

Pengalaman tersebut menjadi sebahagian daripada pengetahuan warisan yang dikongsi menerusi program berkenaan. 

Sepanjang bengkel, peserta mengikuti beberapa sesi utama yang meliputi pengenalan warisan, demonstrasi pembuatan, latihan amali, kemasan serta pelarasan teknikal sebelum menjalani sesi penerbangan wau.

Pada sebelah pagi, peserta diberi taklimat program, keselamatan dan peralatan sebelum mengikuti sesi mengikat rangka serta menampal kertas wau. 

Manakala, pada sebelah petang pula, peserta meneruskan aktiviti sobek dan hiasan wau, diikuti penyampaian sijil dan cenderamata sebelum sesi penerbangan Wau Pungguk. 

Pendekatan amali tersebut selaras dengan objektif projek yang turut menekankan kemahiran menggunakan bahan dan peralatan, menghasilkan wau melalui bimbingan fasilitator serta memahami aspek keseimbangan, angin dan keselamatan ketika menerbangkan wau. 

Selain aktiviti amali, program turut disokong dengan pameran berkaitan warisan wau yang memperkenalkan pelbagai jenis wau tradisional, peralatan pembuatan, pakaian pemain wau serta tokoh dan penggiat yang terlibat dalam perkembangan seni wau.

Pameran tersebut turut menampilkan bahan berkaitan Wau Pungguk dan sejarah penggiat wau di Pahang. 

Usaha pemuliharaan tersebut turut mempunyai kaitan dengan perkembangan lebih luas dalam usaha memartabatkan wau sebagai warisan budaya tidak ketara. 

Bahan pameran program menunjukkan dokumentasi berkaitan pencalonan wau di bawah Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity UNESCO, termasuk bahan daripada Jabatan Warisan Negara berkaitan usaha pencalonan tersebut. 

Penganjuran bengkel ini juga memperlihatkan peranan universiti dalam menghubungkan pengetahuan akademik dengan pengetahuan yang berkembang dalam komuniti. 

Melalui interaksi secara langsung bersama penggiat dan pembuat wau, pengetahuan yang diwarisi secara turun-temurun dapat dikongsi, dipraktikkan dan direkodkan untuk rujukan generasi akan datang.

Program diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderamata kepada peserta serta sesi bergambar. 

Dokumentasi yang dihasilkan sepanjang program akan menjadi sebahagian daripada usaha mendokumentasikan seni dan pengetahuan berkaitan Wau Pungguk sebagai warisan budaya Pahang.

Disediakan Oleh: Mohd Azam Muhammad Akhir, Ahmad Ibrahim, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) dan Saharudin Ramli, Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri