Skip to main content

UMPSA raih kejayaan cemerlang di Huawei 10th National ICT Competition Malaysia 2025–2026

KUALA LUMPUR, 1 Disember 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan bangganya meraikan pencapaian gemilang dalam program anjuran Huawei Malaysia pada Majlis Anugerah Huawei 10th National ICT Competition 2025–2026 di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur. 

Melalui Fakulti Komputeran (FK), UMPSA berjaya meraih hadiah kedua dan hadiah ketiga bagi kategori Innovation Track, sekali gus menonjolkan komitmen universiti terhadap kecemerlangan teknologi, penyelidikan dan inovasi digital.

Pertandingan berprestij yang menghimpunkan lebih 1,900 peserta daripada 40 universiti seluruh negara itu telah diadakan pada 23 Oktober 2025 di TRX, Huawei Malaysia, Kuala Lumpur, sebelum majlis penganugerahan rasmi diadakan pada 1 Disember 2025. 

Kejayaan UMPSA merupakan hasil kesungguhan, dedikasi dan kerjasama erat antara pensyarah pembimbing serta pelajar yang gigih berusaha menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi.

Pasukan Definitely Clueless dari FK mencipta kejayaan apabila meraih hadiah kedua di bawah bimbingan Ts. Dr. Hoh Wei Siang yang dianggotai Lee Jia Cong selaku ketua pasukan bersama Gan Wei Lin dan Cheah Choong Yee, projek yang dibangunkan memikat perhatian juri melalui kekukuhan teknikal serta reka bentuk penyelesaian yang inovatif dan praktikal terhadap keperluan industri.

Kejayaan UMPSA diteruskan dengan kemenangan hadiah ketiga oleh pasukan Recycle Wise yang dipimpin oleh Jimmy Tang Jing Ming bersama ahli pasukan Yoon Si Kee dan Chan Shu Wei di bawah seliaan Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin.

Projek mereka diiktiraf kerana menawarkan solusi digital yang kreatif, relevan dan berpotensi menyumbang kepada kelestarian melalui penggunaan teknologi pintar.

Selain kejayaan dua pasukan tersebut, UMPSA turut diberi penghormatan apabila menerima Excellent Academy Award 2025, yang mengiktiraf peranan universiti dalam pembangunan bakat ICT negara, penglibatan aktif bersama Huawei serta pencapaian konsisten dalam pertandingan peringkat kebangsaan. 

Anugerah tersebut telah diterima Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias. 

Menurut Profesor Dr. Yatimah, kejayaan ini merupakan bukti jelas bahawa usaha berterusan universiti dalam memperkukuh ekosistem pendidikan digital dan inovasi mula membuahkan hasil yang membanggakan. 

“Pencapaian pelajar dalam pertandingan berprestij seperti Huawei National ICT Competition tidak hanya mencerminkan keupayaan mereka menguasai kemahiran teknikal bertaraf industri, malah menunjukkan kesiapsiagaan UMPSA dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya cipta dan mampu menyelesaikan cabaran teknologi dunia sebenar.

“Pengiktirafan yang diterima melalui Excellent Academy Award 2025 juga membuktikan bahawa kerjasama strategik UMPSA dengan industri, termasuk Huawei Malaysia, memberi impak signifikan terhadap pembangunan bakat ICT negara. 

“Tahniah kepada pensyarah pembimbing dan para pelajar yang menunjukkan dedikasi tinggi dalam penyelidikan dan pembangunan projek, sekali gus mengharumkan nama UMPSA di pentas kebangsaan,” katanya. 

Pencapaian ini mengukuhkan tekad UMPSA untuk terus melakar kejayaan lebih besar dalam Huawei ICT Competition 2026–2027 dan seterusnya, seiring aspirasi universiti dalam membentuk bakat digital yang kompeten, inovatif dan bersedia memacu masa depan negara.

Disediakan Oleh: Ts. Dr. Hoh Wei Siang, Fakulti Komputeran

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri