UMPSA sedia bas buat pelajar balik kampung sambut Aidilfitri
GAMBANG, 21 Mac 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyediakan 11 kenderaan buat 427 pelajar pulang ke kampung bersempena program jom Balik Raya 2.0 bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Majlis Flag Off Bus ‘Jom Balik Raya 2.0’ anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) itu telah berlangsung dengan meriah dan masing-masing teruja untuk pulang ke kampung halaman untuk meraikan cuti perayaan bersama keluarga tercinta.
Program itu melibatkan sebanyak tujuh buah bas dan sebuah van yang diuruskan pihak MPP UMPSA serta empat buah bas kelolaan Mahasiswa Anak Negeri khusus untuk Anak Negeri, termasuk tiga bas dari Sekretariat Anak-anak Johor (Iskandar) yang membawa seramai 120 pelajar dan sebuah bas dari Sekretariat Himpunan Mahasiswa Kelantan (SEHIMSAK) dengan 44 pelajar.
Pergerakan kenderaan melibatkan tiga zon utama yang melibatkan dua buah bas untuk Zon Tengah, dua buah bas untuk Zon Timur, dan tiga buah bas serta sebuah van untuk Zon Utara.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, bersama Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, YDH SAC Dato’ Mohamad Noor Yusof Ali.
Turut serta Yang di-Pertua MPP UMPSA, Muhammad Haykal Halid.
Kehadiran mereka pastinya memberi semangat kepada pelajar untuk pulang dengan selamat dan menyambut perayaan Aidilfitri bersama keluarga.
Menurut YDH SAC Dato’ Mohamad Noor, pihaknya menasihatkan pelajar agar sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan pergi dan kembali ke kampus.
“Begitu juga dengan ‘pilot’ agar pemandu bersedia untuk perjalanan yang jauh dengan mendapatkan rehat yang mencukupi.
“Inisiatif UMPSA ini sangat baik dan menunjukkan keprihatinan universiti terhadap kebajikan pelajarnya.
“Malah, UMPSA juga turut menyediakan makanan buat pelajar bersahur,” ujarnya.
Program itu turut mengukuhkan hubungan universiti dengan komuniti pelajarnya dari pelbagai negeri di seluruh Malaysia.
Bagi Muhammad Haykal, program penghantaran pelajar balik kampung atau `Moh Pulang Beraya 2.0” ini sebagai kemudahan buat pelajar memandangkan kebanyakan tiket bas terhad dan tiket ETS sudah mulai habis awal memandangkan cuti perayaan.
“Inisiatif ini juga dapat meringankan beban pelajar UMPSA untuk pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 54 views