Skip to main content

UMPSA terima 8 enjin sumbangan Mercedes-Benz

PEKAN, 2 Ogos 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terima sumbangan lapan buah enjin iaitu dua enjin turbo 2.0 liter dan enam enjin 1.8 liter sumbangan pengeluar kereta jenama mewah, Mercedes-Benz untuk memperkasakan program pendidikan dan latihan pelajar dalam bidang Kejuruteraan Automotif.

Serahan enjin tersebut disampaikan oleh Naib Presiden dan Ketua Operasi CKD, Mercedes-Benz (Malaysia) Sdn. Bhd, Andreas Lettner kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet UMPSA Pekan. 

UMPSA terima 8 enjin sumbangan Mercedes-Benz

Menurut Profesor Ts. Dr. Aida, UMPSA dan Mercedes-Benz Malaysia mempunyai sejarah kerjasama yang panjang dan berkembang maju dalam usaha meningkatkan pengetahuan, peluang pembelajaran praktikal dan menambah baik Program Kejuruteraan Automotif. 

“Melalui kerjasama ini, UMPSA menerima manfaat besar ke arah pembangunan modal insan berkemahiran tinggi untuk keperluan industri. 

“Pihak universiti menghargai sumbangan pihak Mercedes-Benz dan berharap enjin yang diserahkan ini akan membantu memajukan program latihan di institusi dan melatih bakat masa depan untuk industri automotif Malaysia,” katanya pada Majlis Penyerahan Enjin Kereta daripada Mercedes-Benz Malaysia kepada UMPSA.
Ujar beliau lagi, sumbangan enjin ini bakal meningkatkan keupayaan UMPSA untuk menyediakan pendidikan praktikal dan berkaitan industri dalam bidang Kejuruteraan Automotif. 

“Selain itu, UMPSA juga turut mempunyai tujuh buah pusat kecemerlangan, ini termasuklah Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC) yang mempunyai tenaga kepakaran dalam bidang Automotif. 

“Sebagai  mengangkat bidang tujahan universiti di bawah Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) terdapat juga Technology-Industry Center of Excellence (Ti-CoE) yang akan memberi tumpuan kepada lebih banyak kerjasama dengan industri dalam bidang penyelidikan, inovasi, pembangunan produk serta mempamerkan keupayaan komprehensif dalam mencipta teknologi baharu dan bahan termaju,” katanya. 

UMPSA terima 8 enjin sumbangan Mercedes-Benz

Sementara itu, menurut Andreas Lettner, sumbangan ini adalah tanggungjawab sosial pihak syarikat terhadap komuniti dan universiti. 

“Pada masa ini, terdapat lebih 20 alumni UMPSA yang kini bekerja sebagai jurutera dan menjalani latihan praktikal di kilang Mercedes-Benz di Pekan,” ujarnya. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Pengurus Besar Pengeluaran dan Logistik Mercedes-Benz Malaysia, Azlan A. Halip, Pengurus Kualiti Mercedes-Benz Malaysia, Nordin Awalluddin dan Pengarah Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC), Profesor Dr. Rizalman Mamat.

Disediakan Oleh: Anuar Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Anuar Abdul Aziz