Skip to main content

UMPSA tuan rumah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam Kali Ke-17 Tahun 2024

GAMBANG, 8 Ogos 2024 - Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam (UA) Kali Ke-17 Tahun 2024 yang berlangsung selama dua hari melabuhkan tirainya baru-baru ini.

Pada tahun ini, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terpilih menjadi tuan rumah bagi konvensyen yang berprestij itu. 

KIK merupakan sebuah platform terbaik bagi warga universiti untuk mengukuhkan budaya minda inovatif dan kreatif melalui cetusan idea serta projek yang mampu memberikan impak signifikan dalam menyelesaikan masalah serta meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam di peringkat universiti. 

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin hadir merasmikan Majlis Perasmian Penutup, Penyampaian Hadiah dan Pengumuman Tuan Rumah Konvensyen KIK Peringkat UA Kali Ke-17 di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang.  
 

UMPSA tuan rumah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam Kali Ke-17 Tahun 2024

Turut sama hadir barisan pengurusan tertinggi UMPSA, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha dan Pendaftar, Dato' Saiful Bahari Ahmad Bakarim. 

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Ts. Dr. Haji Azizi Haji Miskon dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Suriani Abu Bakar. 

Menurut Profesor Ts. Dato’ Dr. Yuserrie, penganjuran Konvensyen KIK UA Kali Ke-17 ini merupakan sebuah platform yang bersifat ampuh bagi memastikan kita sentiasa bergerak seiring dengan peredaran arus kemajuan dan revolusi berteraskan inovasi.

“Pelaksanaan Konvensyen KIK ini dapat mewujudkan budaya kerja yang mantap, berinovasi, kreatif dan berpandangan jauh bagi meningkatkan kualiti kerja serta keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan universiti awam.

“Keupayaan warga kerja yang berdaya cipta merupakan satu komponen yang signifikan bagi memastikan fungsi dan operasi sentiasa kekal relevan serta bertransformasi.

“Pemerkasaan kreativiti dalam kalangan warga kerja UA juga dilihat sebagai salah satu elemen penting bagi melahirkan individu dan warga kerja yang mempunyai kemahiran tinggi selain pemikiran yang kritis,” tambahnya. 

Konvensyen KIK Peringkat Universiti Awam Kali ke-17 di UMPSA tahun ini menempa sejarah kerana ia adalah merupakan konvensyen kali pertama yang dianjurkan secara bersemuka berbanding dengan penganjuran terdahulu iaitu Kali ke-16 yang dibuat secara dalam talian di UTHM tahun 2022.

Selain itu, konvensyen ini juga merupakan kali pertama yang menggunakan format KIK Horizon Baharu selaras dengan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bil.1/2016 berbanding dengan penganjuran terdahulu yang menggunakan format daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). 

Keputusan perubahan ini telah dibincang dan disepakati secara bersama oleh semua ahli dalam Jawatankuasa Penyelaras KIK Universiti Awam pada tahun 2023. 

Perubahan ini turut menyebabkan format pertandingan dan dokumentasi projek yang perlu disediakan.

Bidang projek yang dipertandingkan dalam Konvensyen KIK kali ini adalah Inovasi Sosial dan Inovasi Penyampaian Perkhidmatan.  

Sebanyak 28 kumpulan KIK UA terlibat dalam konvensyen ini iaitu sembilan kumpulan bertanding bagi kategori Inovasi Sosial dan 19 kumpulan dalam kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan. 
UMPSA diwakili oleh dua kumpulan iaitu kumpulan Innovative-T dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) bagi kategori Inovasi Sosial. Manakala kumpulan Innovatory dari Pusat Sains Matematik (PSM) pula bagi kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan. 

UA yang bertanding adalah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan Universiti Utara Malaysia (UUM). 

Tiga anugerah utama yang dipertandingkan ialah Anugerah Kategori Utama, Anugerah Kategori Penyampaian Perkhidmatan dan Anugerah Kategori Inovasi Sosial.

Konvensyen KIK Kali Ke-17 ini menyaksikan kumpulan Agromind dari UiTM mengungguli Anugerah Kategori Utama. 

Manakala kumpulan Reborn Rehab dari USM memenangi Anugerah Kategori Penyampaian Perkhidmatan dan Anugerah Kategori Inovasi Sosial pula diraih oleh Kumpulan Agromind dari UiTM. 

Kumpulan Innovative-T dari UMPSA turut meraih kedudukan naib johan bagi Kategori Inovasi Sosial. 
Tahniah dan syabas buat semua pemenang dan wakil dari seluruh UA yang turut serta dalam konvensyen tahun ini.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad