Yayasan UMP sumbang kelengkapan sekolah buat anak-anak staf
PEKAN, 13 Mac 2023 - Seramai 100 orang anak staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sumbangan kelengkapan pakaian sekolah sempena program Kembali Ke Sekolah (Back To School) anjuran Yayasan UMP dan Jabatan Pendaftar yang telah diadakan di kedua-dua kampus UMP Pekan dan Kampus Gambang.
Seorang kanak-kanak, Mohammad Amirul Fikri, 12 teruja apabila terpilih menerima sumbangan pakaian sekolah, kasut, beg, alat tulis sempena program Kembali Ke Sekolah (Back To School) baru-baru ini.
Beliau yang ditemani bapanya Mohd Azmei Anan yang merupakan petugas landskap di UMP berkata, beliau amat gembira apabila menerima kelengkapan pakaian sekolah yang baharu.
“Saya ingatkan hanya dapat baju sekolah sahaja, tapi Alhamdulillah, ada juga beg, alat tulis dan kasut.
“Saya berasa lebih bersemangat untuk anak-anak melangkah ke sekolah dan berjanji akan belajar dengan lebih bersungguh-sungguh,”ujarnya yang amat bersyukur dengan sumbangan yang diterima.
Manakala menurut seorang lagi staf landskap yang anaknya turut menerima sumbangan itu, Alias Ayob, 55 mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada UMP kerana prihatin dengan warganya.
Beliau akui, kini barang kelengkapan pakaian sekolah agak mahal jadi dengan sumbangan yang diterima ini dapat meringankan beban kami sekeluarga.
Pada sesi pagi, majlis penyerahan telah diadakan diadakan bertempat di Dewan Serbaguna, UMP Pekan yang dihadiri oleh Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
Manakala sebelah petang pula majlis penyerahan diadakan di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang yang turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang juga Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
Hadir sama Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Jamil Mohd Ja'afar dan Pengurus Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Pendaftar, Hajah Sabarehan Haji Ismail.
Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim, program Back to School ini merupakan satu program amal komuniti tahunan bertujuan untuk membantu warga UMP dari golongan B40 bagi meringankan beban keluarga menyediakan persiapan kelengkapan sekolah anak-anak yang memulakan sesi persekolahan 20 Mac ini.
Dalam program ini, setiap pelajar menerima kelengkapan lengkap pakaian sekolah seperti pakaian, beg, kasut, stokin dan alat tulis yang bernilai RM 150.
Beliau mengharapkan dengan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban staf yang memerlukan.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.
- 104 views