Karnival kerjaya capai sasaran buka peluang pekerjaan
Penganjuran Karnival Kerjaya University To Industry oleh Pusat Pembangunan dan Penempatan Kerjaya (CPDC selama dua hari melibatkan lebih 40 syarikat berjaya menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan .
Hadir dalam program Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Dato Sri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Pengarah Operasi BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd, Dr. Jan Peter Bredehoeft. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff.
Menurut Prof. Dato Sri Ts. Dr. Daing Nasir, karnival ini merupakan inisiatif universiti untuk menghubungkan mahasiswa dengan industri sama ada dalam mencari peluang pekerjaan mahupun mendapatkan penempatan bagi menjalani latihan industri.
Kini UMP merekodkan 94 peratus kebolehpasaran graduan pada tahun 2017 yang merupakan antara yang tertinggi di Malaysia. Kejayaan ini dapat dicapai menerusi kerjasama pelbagai pihak terutama Jabatan Jaringan Industri (JJIM) dan Pusat Pembangunan dan Penempatan Kerjaya (CPDC).
“Kita menyedari keperluan untuk mendedahkan mahasiswa kepada realiti dan cabaran masa depan graduan, sehubungan itu pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang minggu karnival kerjaya ini diadakan agar mereka dapat berinteraksi terus dengan pihak industri di samping pihak industri menyumbangkan idea untuk menghasilkan graduan yang menepati kehendak pasaran masa depan,” katanya
Beliau percaya graduan yang professional mampu menempuh cabaran dalam nmenghadapi revolusi industri 4.0. Program ini juga selaras dengan Pelan Strategik 2016-2020 iaitu dalam menghasilkan graduan berkualiti tinggi dan dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Manakala menurut Dr. Jan Peter Bredehoeft, berkata kerjasama antara universiti dan industri adalah penting untuk pembangunan kemahiran terutama dalam bidang pendidikan. Ujar beliau, BASF Petronas turut menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan dan turut menerima untuk menjalani latihan industri dan mengharapkan kerjasama universiti –industri akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Manakala bagai mahasiswa Fakulti Pengurusan Industri, Nur Azliena Mohd Salim, 22, mengucapkan terima kasih kepada UMP yang menganjurkan program ini yang dapat membantunya mendapatkan syarikat untuk penempatan latihan industri tidak lama lagi. Selain itu beliau berpendapat program ini perlu diteruskan pada masa akan datang terutamanya dalam membantu graduan mendapatkan pekerjaan.
Disediakan oleh Nor Salwana Mohamad Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 175 views