UMP kongsi kepakaran dalam program literasi robotik di UK
UNITED KINGDOM, 18 Mei 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) melebarkan sayapnya dengan berkongsi kepakaran literasi robotik ke peringkat antarabamgsa menerusi penganjuran Robot Literacy Program with Community in Wales, Cardiff.
Program yang diketuai oleh Penolong Naib Canselor, Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin itu telah disertai seramai 32 pelajar sekolah yang berusia sekitar 10 dan 11 tahun dari sekitar Wales Cardiff.
Hadir sama menjayakan program, Pengarah Eureka Robotics Cardiff Metropolitan University, Dr. Esyin Chew.
Program sehari yang diadakan di Cardiff National Museum, UK itu turut mendapat kerjasama Cardiff Metropolitan University dan British Council.
Menurut Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina, program ini bertujuan untuk mendekati komuniti khususnya pelajar sekolah dalam pendidikan luar bilik darjah berkaitan asas robotik yang merangkumi binaan asas robot, fungsi serta kegunaannya di dalam kehidupan harian.
“Program ini adalah salah satu inisiatif dalam menyokong Pelan Strategik UMP dengan objektif strategik UMP 6A iaitu galakan untuk warga UMP terlibat dalam program khidmat komuniti antarabangsa.
“Selain itu juga, menerusi program ini dapat memberikan pendedahan kepada komuniti berkaitan teknologi dan pengetahuan yang ada di UMP,” katanya.
Program ini melibatkan mentor pelajar UMP STEM Lab dalam penyediaan modul dan kit pembelajaran robotik.
Beliau berharap menerusi program ini dapat menjadi platform untuk universiti mendekati komuniti antarabangsa, selain dari pemindahan teknologi antara UMP dan komuniti.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 95 views