Skip to main content

UMPSA tubuh Venture Studio bersama rakan strategik industri perluaskan kolaborasi dalam Aeroangkasa, Teknologi Mobiliti dan Kehidupan Lestari Masa Depan (future living)

DUBAI, 19 November 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneroka peluang kolaborasi strategik dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan dua industri berkaitan aeroangkasa dan rangkaian teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Mobiliti sempena Dubai Airshow 2025 yang diadakan bermula 17 hingga 21 November 2025 di Dubai World Central (DWC).

Kolaborasi ini melibatkan UMPSA dengan Pahang Aerospace City Development Berhad (PAC) dan K2 yang menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias menandatangani MoU dengan Ketua Pegawai Eksekutif PAC, Profesor Adjung Muhamad Nurazmi Abas dan Pengerusi K2, Waleed Alblooshi.

UMPSA juga  menandatangani MoU bersama syarikat Pen Aviation yang diwakili oleh Pengarah Urusan, Jean-Bernard Boura bagi meneroka integrasi teknologi propulsi hibrid-elektrik ke dalam aplikasi penerbangan serantau.

Di samping itu juga, UMPSA turut menandatangani MoU bersama Borneo Coffee diwakili oleh Adrain Jerome dan surat niat (Letter of Intent) bersama Oriental Spaceport yang diwakili oleh Dato’ Sri Siaw Swee Hin.

Hadir menyaksikan hari bersejarah ini, Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), TYT Tengku Dato’ Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin, Pengarah Eksekutif PAC, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar

Turut sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha.

Dalam majlis yang sama, TYT Tengku Dato' Sirajuzzaman turut melancarkan Ekosistem Kenderaan Autonomi UMPSA dan penubuhan Venture Studio UMPSA yang dikenali sebagai Versus.

Menurut Profesor Dr. Yatimah, kolaborasi ini merangkumi pembangunan platform autonomous, pusat data serta inisiatif bandar masa depan.

“Kerjasama ini juga melibatkan usaha ke arah penubuhan Venture Studio atau Versus pertama di Malaysia yang bakal menjadi pusat inovasi dan pengkomersialan untuk melahirkan syarikat pemula dalam bidang AI, sistem autonomous dan teknologi mobiliti,” katanya.

Selain itu, usaha ini turut disokong oleh endowmen PAC serta rakan strategik yang lain bagi memperkasa bakat tempatan dan memperkukuh laluan penyelidikan dan pembangunan.

Dalam pada itu, Profesor Muhamad Nurazmi berkata, PAC turut berperanan sebagai pemacu ekonomi bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan integrasi pengangkutan udara, laut, darat dan rel.

“Dengan memberi tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur, beliau berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan yang baharu dijangka beroperasi pada suku keempat 2031 dan menjadi teras kepada pembangunan PAC Omniport Multi-Modal Logistics and Industrial Development.

Selain itu, perancangan utama PAC turut merangkumi penubuhan Pusat Data dan AI, Mobiliti Udara Lanjutan (AAM) serta fasiliti Hyperport pada masa hadapan.

“Penyertaan PAC di Dubai Airshow tepat pada masanya lanjutan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) antara kedua-dua negara awal tahun ini yang bakal merangsang kerjasama sektor swasta serta membuka peluang pelaburan baharu antara UAE dan Malaysia,” ujarnya.

UMPSA turut mengambil bahagian dalam mempromosikan produk HASHBOX AUTO LOG: Real-time Vehicle Event Logging ‘Vehicle Physical and Digital Forensics’ hasil penyelidikan Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Ts. Dr. Mohamad Heerwan Peeie.

Turut dipamerkan produk ‘UMPSA Autonomous Vehicle Testbed Ecosystem’ hasil penyelidikan daripada Pengarah, Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi, Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria dari dan produk ‘E-Anfun: Electronic Nose (E-Nose) Sensor Technology’ oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Sharfi Najib dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE). 

Penglibatan UMPSA ini bakal mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin di samping mengukuhkan diplomasi serantau antara Malaysia dan UAE.

Dubai Airshow 2025 merupakan salah satu acara pameran aeroangkasa dan pertahanan terbesar di dunia yang mempamerkan kepelbagaian produk, rangkaian teknologi dan perkhidmatan yang inovatif dari pelbagai pemain industri dari serata pelusuk dunia.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat 
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri